WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Citaglobal Beli Kepentingan Majoriti Dalam Dua Projek Tenaga Hidro Di Perak

11/08/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Citaglobal Bhd menceburi sektor tenaga hidro dengan memperoleh 70 peratus kepentingan dalam dua projek kuasa hidro di Perak.

Syarikat itu berkata unit milik penuhnya, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian bersyarat untuk memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Zeqna Corporation Sdn Bhd dengan harga RM15 juta dan 70 peratus daripada Koridor Mentari Sdn Bhd dengan harga RM1.

Zeqna mengendalikan kemudahan penjanaan tenaga hidro di Slim River dengan kapasiti terpasang enam megawatt manakala Koridor Mentari sedang membina loji kuasa hidro di Kampar dengan kapasiti terpasang yang sama, kata Citaglobal dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Loji Tenaga Hidro Kampar mempunyai anggaran jumlah kos pembinaan kira-kira RM54 juta, dibiayai menerusi gabungan pinjaman bank luar dan dana dijana secara dalaman,” tambahnya.

Sementara itu, Citaglobal dalam satu kenyataan akhbar berkata ia akan memperoleh hasil tenaga boleh baharu (RE) daripada kilang di Slim River manakala loji Kampar yang diluluskan sepenuhnya bersedia untuk memberikan pulangan kukuh pada garis masa dipercepatkan.

“Kedua-dua aset tenaga hidro itu dijangka menjana sehingga RM19 juta hasil tahunan berulang di bawah perjanjian pembelian tenaga RE jangka panjang (REPPA) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengekalkan asas pendapatan Citaglobal pada masa depan,” katanya.

Selepas pengambilalihan, baki 30 peratus kepentingan dalam kedua-dua Zeqna dan Koridor Mentari akan dipegang oleh Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC) yang memegang hak air negeri untuk pembangunan tenaga hidro mini.

"Perkongsian ini memberikan Citaglobal akses kepada sokongan institusi yang kukuh dan membuka peluang tenaga hidro masa depan di negeri yang sangat sesuai untuk pembangunan sedemikian, disokong oleh topografi menggalakkan, hidrologi sungai dan infrastruktur grid yang mantap," kata syarikat itu.

Pengerusi Eksekutif dan Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Loji Tenaga Hidro Slim menawarkan hasil berulang serta-merta, manakala projek Kampar menjanjikan nilai jangka panjang dengan kapasiti dan tarif yang baharu diluluskan.

“Kedua-duanya menyediakan platform seimbang untuk meningkatkan portfolio tenaga bersih Citaglobal termasuk projek penyimpanan tenaga solar, sisa kepada tenaga dan bateri.

"Perak adalah hab RE yang baharu muncul dan permulaan ideal untuk usaha kami terlibat dalam sektor tenaga hidro. Negeri ini sesuai secara strategik untuk pembangunan tenaga hidro disebabkan bentuk muka bumi, hidrologi sungai dan infrastruktur grid kukuh," katanya.

Citaglobal berkata ia juga menjangka untuk meraih pulangan seterusnya daripada kelulusan baharu untuk loji tenaga hidro Kampar berikutan kapasiti diluluskan lebih besar dan tarif lebih tinggi, pembiayaan semula pinjaman sedia ada pada kos pembiayaan lebih kompetitif serta penjualan sijil tenaga boleh baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan