WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DAP Pasang Jalur Gemilang Gergasi Di Premis Perkakasan Di Kepala Batas, Betulkan Kesilapan

12/08/2025 08:31 PM

KEPALA BATAS, 12 Ogos (Bernama) -- DAP hari ini mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang gergasi di kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, di sini yang tular sebelum ini kerana mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Penolong Setiausaha DAP Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata pemasangan Jalur Gemilang berukuran 3.04 meter X 6.09 meter itu dilakukan bagi memberi panduan kepada orang ramai mengenai cara pemasangan bendera negara yang betul, sekali gus mengelak kesilapan dalam pemasangan.

"Sebagai seorang yang mencintai negara, kita patut memperbetulkan perkara yang salah.

“Pemasangan Jalur Gemilang ini juga sebagai tunjuk ajar tentang cara yang betul sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang bermula 1 Ogos hingga 16 Sept ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan Jalur Gemilang itu.

H'ng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang turut mengedarkan 500 Jalur Gemilang kepada orang ramai di situ. 

Turut hadir Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri Lay Hock Peng.

H'ng berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai turut menggalakkan pemilik perniagaan untuk menghiasi premis mereka dengan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.

Sementara itu, pemilik kedai perkakasan itu, Pang Chin Tian, 59, yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik sebelum ini bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.

Beliau mengakui kesilapan terbabit tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku Sabtu lepas serta berjanji akan lebih berhati-hati dalam pemasangan Jalur Gemilang selepas ini.

"Ini sesuatu yang tidak disengajakan, saya akui salah saya lagipun pada masa itu bendera itu belum sempat dipasang di premis dan apabila sedar bendera itu salah dipasang, ia terus diperbetul tetapi videonya tular hanya separuh," katanya.

Sabtu lepas, polis menahan Pang dan membebaskannya dengan jaminan selepas keterangannya direkodkan pada Ahad berikutan tular video berdurasi 21 saat melalui media sosial memaparkan beliau dan seorang lagi lelaki, yang didakwa dengan sengaja memasang serta mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan