WILAYAH - SARAWAK > BERITA

0.3 Peratus Penjawat Awam Bankrap Antara 2020 Hingga Jun 2025 - MOF

13/08/2025 12:18 PM

KUALA LUMPUR, Ogos 13 (Bernama) -- Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 4,194 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam direkodkan antara 2020 hingga Jun 2025, iaitu sekitar 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bagi membantu penjawat awam yang berdepan masalah kewangan serius, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan khidmat nasihat, bantuan pengurusan kewangan serta program penstrukturan semula pembiayaan.

“Bagi pegawai baharu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan Program Transformasi Minda (PTM) yang memberi pendedahan awal tentang pengurusan kewangan peribadi bagi memastikan mereka mampu mengurus hutang secara berhemah.

“Selain itu, penjawat awam tertakluk kepada peraturan yang menetapkan gaji bersih bulanan tidak boleh kurang daripada 40 peratus, bagi mengelak mereka berada dalam keberhutangan kewangan yang serius,” katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata setakat Mac 2025, jumlah hutang isi rumah negara mencecah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

“Namun, ia kekal terkawal secara makro kerana aset kewangan isi rumah pada tempoh sama berjumlah RM3.45 trilion, iaitu 2.1 kali ganda melebihi hutang,” katanya.

Mengulas isu perumahan yang menjadi komponen terbesar hutang isi rumah iaitu 61.1 peratus, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai skim pemilikan rumah mampu milik termasuk Residensi MADANI dan PR1MA, dengan mengambil kira situasi khusus seperti di Johor Bahru yang berdepan kos sara hidup tinggi.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan