KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengesahkan cita-citanya untuk menjadi hab awan dan digital serantau yang terkemuka menjelang 2030 menerusi pelancaran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP), satu langkah penting dalam pembangunan ekosistem digital negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata NCCP secara langsung menyokong objektif MyDIGITAL dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dengan membuka potensi ekonomi sebenar, selain menyediakan hala tuju jelas untuk perjalanan transformasi digital negara.
Memetik Institut Bank Pembangunan Asia dan kajian dijalankan oleh AWS baru-baru ini, Gobind berkata peningkatan satu peratus dalam penggunaan awan dijangka boleh menyumbang sehingga RM10.5 bilion, jumlah yang luar biasa kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Melangkah ke hadapan dengan mempercepatkan strategi awan dari 2024 hingga 2028, kita boleh menjana nilai ekonomi tambahan RM110 bilion. Komitmen kami telah berjaya menarik rakan kongsi bertaraf dunia dan pelaburan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Kita menyaksikan berbilion ringgit disalurkan ke dalam infrastruktur digital negara dengan penggiat teknologi global mewujudkan wilayah awan dan pusat data baharu di Malaysia,” katanya semasa pelancaran NCCP pada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS25) hari ini.
Gobind berkata NCCP mendukung lima teras teras untuk mengukuhkan penggunaan awan di Malaysia khususnya untuk membimbing sektor awam dan swasta; perlindungan data dan privasi; keterangkuman digital serta kelestarian alam sekitar.
"NCCP merangkumi pendekatan keseluruhan negara. Ia mencerminkan kepercayaan kami bahawa transformasi digital sebenar harus inklusif, menjangkau seluruh sektor, institusi dan komuniti.
"Selain berperanan sebagai dokumen panduan, NCCP berfungsi sebagai pelan tindakan nasional untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi digital global yang berkembang pesat, ia mewujudkan asas bagi penggunaan teknologi awan yang strategik, diurus dengan baik dan berimpak tinggi," katanya.
Sementara itu, menurut Kementerian Digital, pelaksanaan NCCP akan menyokong peralihan kedua-dua sektor awam dan swasta ke arah pendigitalan lebih cekap selain meningkatkan kapasiti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing dalam ekonomi digital.
Sebagai dasar dinamik, NCCP direka bentuk dengan fleksibiliti untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan cabaran yang muncul dalam landskap pengkomputeran awan global, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial