WILAYAH - TIMUR > BERITA

PGA Tahan Lapan Pendatang Tanpa Izin, Rampas Ganja Lebih 3kg

13/08/2025 04:33 PM

TUMPAT, 13 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lapan pendatang tanpa izin warga Myanmar serta merampas dadah disyaki ganja seberat lebih 3 kilogram (kg) di kawasan pengkalan haram Pohon Tar, Pengkalan Kubor di sini pada Isnin.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam Op Taring Wawasan Kelantan itu, sepasukan anggota Batalion 8 telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan pada kira-kira 10 malam.

"Bagaimanapun, seorang suspek yang menyedari kehadiran polis telah melarikan diri menaiki perahu ke negara jiran.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lima lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berada di dalam kenderaan berkenaan dipercayai baru diseludup masuk melalui pangkalan haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan pula menemukan 250 gram ketulan tumbuhan disyaki ganja, 3.2kg bunga ganja serta beg pakaian milik suspek.

"Anggaran keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah RM153,000. Tiga suspek lelaki turut didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC)," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan