WILAYAH - UTARA > BERITA

Dua Pelajar Perempuan Tingkatan Satu Didakwa Kurung, Cederakan Rakan Sekolah

13/08/2025 05:23 PM

SUNGAI PETANI, 13 Ogos (Bernama) -- Dua remaja perempuan berusia 13 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengurung seorang rakan sekolah mereka, bulan lepas.

Kedua-dua pelajar tingkatan satu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri dalam prosiding yang berlangsung secara tertutup.

Peguam N.Nagaratnam yang mewakili kedua-dua pelajar memaklumkan pemberita bahawa bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mencederakan mangsa di dalam tandas sekolah pada 6.40 petang 14 Julai lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa di lokasi, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor memohon mahkamah mengenakan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh namun Nagaratnam memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan kedua-dua anak guamnya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat mereka tidak boleh mengganggu mangsa dan menetapkan 23 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, dua remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang remaja berusia 16 tahun, bulan lepas.

Peguam Farah Azlinda Zahari daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memaklumkan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah sekolah di sini pada 12.15 tengah hari 21 Julai lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh sementara menunggu laporan akhlak dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Okt ini.

Mohamad Azlan juga membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan