WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rafizi Dedah Isteri Terima Mesej Ugutan

14/08/2025 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan isterinya menerima ugutan pagi tadi susulan insiden melibatkan anak lelakinya yang disuntik individu tidak dikenali semalam, yang kini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata ugutan itu diterima isterinya pada 1.12 pagi dan 11.02 pagi hari ini, masing-masing mengandungi ancaman "diam, andai teruskan AIDS" serta emoji picagari, daripada nombor telefon yang sama.

“Saya ingat perkara ini (ugutan kepada ahli keluarga) akan berterusan kerana pada hemat saya, mesej strateginya ialah disebabkan saya ini selalunya tidak makan saman. Maksudnya, kes saman pun saya dah lalui, lokap pun saya dah lalui, hilang jawatan atau apa sahaja saya tidak ambil peduli.

“Jadi, saya fikir mereka yang terbabit ini merasakan mungkin lebih mudah mempengaruhi keputusan saya kalau melalui isteri,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Memberikan perkembangan situasi terkini anaknya, Rafizi berkata pemeriksaan awal di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menunjukkan kesan sampingan dalam tempoh 24 jam pertama, sekali gus memberikan keyakinan untuk menolak kemungkinan suntikan berbentuk dadah atau racun.

Bagaimanapun, katanya, ujian darah berkala selama enam bulan perlu dilakukan bagi memastikan tiada jangkitan berasaskan virus seperti hepatitis atau HIV, memandangkan hanya ujian susulan dapat memberikan pengesahan sepenuhnya.

Beliau berkata suntikan itu berkemungkinan mengandungi dadah atau racun, berbentuk virus, atau hanya cecair kosong, namun tanpa jarum suntikan yang dibawa lari suspek, kandungannya tidak dapat dikenal pasti dengan segera.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, ketika mangsa seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan berada bersama-sama ibunya dan pemandu mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan