WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Slamfest 2025 Berpotensi Buka Peluang Bakat Tempatan Tembusi WWE

14/08/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Acara gusti profesional negara Slamfest 2025 dijadual berlangsung 30 Ogos ini di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, bakal menjadi platform bakat tempatan 'memikat' syarikat gusti terkemuka dunia World Wrestling Entertainment (WWE).

Pengasas Asia-Pacific (APAC) Wrestling Ayez Shaukat Fonseka Mohd Farid atau lebih dikenali sebagai Shaukat berkata acara itu bakal dihadiri pencari bakat WWE Independent Development (WWE ID) bagi menilai potensi sebenar dimiliki lebih 10 penggusti tempatan ketika bertarung dalam gelanggang.

“Bukan mudah untuk satu jenama daripada negara kecil seperti Malaysia diiktiraf dan diberi peluang bekerjasama dengan syarikat yang sangat besar seperti WWE.

"Ini peluang kita untuk membuktikan yang bakat-bakat daripada Malaysia adalah bertaraf dunia dan boleh menghasilkan bintang WWE masa depan,” katanya pada sidang media dekat Puchong, hari ini.

Selain penggusti APAC Wrestling termasuk dari Singapura, Filipina, Jepun dan Australia, Slamfest 2025 yang mengatur lapan perlawanan akan turut menampilkan bekas juara WWE Jinder Mahal yang kini dikenali sebagai Raj Dhesi dan penggusti dari WWE ID.

Antara tarikan utama ialah pertarungan antara Shaukat dan Raj Dhesi serta pertembungan antara penggusti paling digeruni dalam negara ‘Dreamkiller’ Azroy yang akan mempertahankan kejuaraan APAC Wrestling menentang juara lelaki WWE ID Cappucino Jones.

Selain itu, perlawanan kejuaraan wanita APAC Wrestling turut menjadi taruhan melibatkan bintang gusti wanita dari Malaysia Nor ‘Phoenix’ Diana dan juara wanita WWE ID pertama Kylie Rae.

Mengenai pertarungannya dengan Dhesi, Shaukat mengakui berada dalam tekanan untuk menyaingi lawannya namun berharap dapat menghidangkan aksi yang mampu diingati para penonton.

Tiket Slamfest 2025 yang dijual serendah RM130 sehingga RM560 boleh didapati menerusi laman web Ticket2U di pautan https://www.ticket2u.com.my/event/44640/slamfest-2025 atau strim secara langsung di platform CloudJoi dan TikTok Shaukat dengan bayaran RM35.

APAC Wrestling merupakan peneraju promosi gusti profesional dan pembangunan bakat di Asia Tenggara yang berpusat di Malaysia selain menjalinkan kerjasama rasmi dengan WWE ID.

WWE ID ialah program yang memberi peluang kepada penggusti untuk menerima bimbingan dan berpotensi menyertai WWE menerusi sokongan serta pendedahan kepada sumber profesional mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan