WILAYAH - SARAWAK > BERITA

"Bersejahtera Bersama" - Singapura, Malaysia Rai Enam Dekad Hubungan Erat

14/08/2025 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon, menyeru hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia terus diperkukuh ketika kedua-dua negara meraikan 60 tahun hubungan diplomatik tahun ini.

Berucap pada majlis resepsi Hari Kebangsaan Singapura ke-60 pada Khamis, Vanu berkata detik bersejarah itu adalah sambutan terhadap “kejayaan dan kemakmuran bersama kedua-dua negara” di bawah tema “Bersejahtera Bersama.”

“Dalam bahasa Melayu, imbuhan awalan ‘Ber-’ menyampaikan maksud tindakan bersama, melakukan sesuatu secara kolektif. Ini tepat menggambarkan hubungan dua hala kita sepanjang 60 tahun lalu.

“Satu hubungan yang berkembang menjadi kerjasama erat, dibina atas asas kepercayaan dan diperkukuh melalui usaha bersama, sama ada di waktu senang mahupun sukar. Hubungan ini memberi keutamaan kepada kemakmuran bersama demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis itu.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kanan Negara Singapura Low Yen Ling, Menteri Negara Baey Yam Keng, wakil kerajaan, komuniti perniagaan, anggota kor diplomatik serta warga Singapura di Malaysia.

Vanu menekankan tiga perkataan berimbuhan “Ber-” sebagai tonggak hubungan, dengan menyatakan bahawa bekerjasama dapat dilihat melalui penglibatan berterusan di peringkat tertinggi.

“Perjalanan saya di Malaysia bermula ketika saya bertugas sebagai pegawai junior beberapa tahun lalu. Setelah menghabiskan hampir 14 tahun di Kuala Lumpur, saya menyaksikan sendiri perkembangan hubungan luar biasa yang kita raikan hari ini,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin kedua-dua negara mengekalkan hubungan erat, dan mendedahkan bahawa Perdana Menteri Lawrence Wong, yang hadir Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 anjuran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.

“Kita mengekalkan momentum pertemuan berterusan di peringkat tertinggi melalui Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang diadakan setiap tahun.

“Pada Pemukiman Pemimpin ke-11 pada Januari 2025, kita menandatangani pelbagai perjanjian, termasuk MoU mengenai pendidikan tinggi dan pertukaran surat mengenai Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura,” katanya.

Menyentuh perkataan kedua, berjalan-jalan, Vanu berkata ia melambangkan kerjasama erat dan hubungan antara rakyat yang terjalin menerusi ikatan kekeluargaan lama serta jaringan penghubung yang kukuh.

“Laluan darat utama yang menghubungkan kita, Tambak Johor dan Linkedua Tuas, akan disusuli dengan projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS).

“Penghubung ini membolehkan keluarga merentasi sempadan terus berhubung, perniagaan berkembang, dan persahabatan dipupuk. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut menjadi penerima manfaat hubungan ini, berkembang sebagai pemacu pertumbuhan dan membawa peluang baharu untuk kemakmuran serantau,” katanya.

Bagi tonggak ketiga, berkawan, Vanu menekankan peranan Malaysia semasa krisis, termasuk membantu pemindahan dari Sudan pada 2023 dan Iran pada 2025, serta kerjasama semasa pandemik COVID-19.

“Persahabatan sejati bukan dizahirkan pada waktu aman, tetapi di saat diperlukan. Malaysia selama ini memainkan peranan penting dalam memberi bantuan kepada Singapura,” katanya.

Vanu memaklumkan beliau baru sahaja melawat Sabah pada Julai lalu dan menganjurkan majlis penghargaan untuk pemandu gunung yang membantu operasi menyelamat rakyat Singapura dan yang lain semasa gempa bumi Sabah 2015.

“Kami juga kadangkala bergantung kepada rakan sejawat Malaysia untuk memindahkan rakyat Singapura yang terkandas di luar negara, seperti di Sudan pada April 2023 dan terbaru di Iran pada Jun 2025.

“Kami turut menghulurkan bantuan apabila berpeluang. Contohnya, semasa pandemik COVID-19, kami bekerjasama menghadapi cabaran luar biasa untuk menyalurkan bekalan perubatan penting kepada Malaysia.

“Detik-detik ini mengingatkan kita bahawa hubungan ini bukan sekadar berkongsi kejayaan tetapi juga ketabahan bersama,” katanya.

Seperti pepatah Melayu, ”Jiran sepakat membawa berkat”, Vanu berkata kedua-dua negara diikat bukan sahaja oleh geografi, tetapi juga sejarah bersama, warisan budaya yang sama dan hubungan rapat antara rakyat.

Beliau berharap sambil kedua-dua negara meraikan 60 tahun hubungan dua hala, “kita akan terus melangkah seiring dalam semangat Bersejahtera Bersama, maju dalam keharmonian dan kemakmuran bersama.”

Majlis resepsi itu dihadiri lebih 1,500 tetamu dan menampilkan persembahan oleh kumpulan seni Singapura Artusik dengan kerjasama Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA, selain projek kreatif media sosial oleh artis ALYPH dan SonaOne yang meraikan persahabatan melalui muzik dan makanan.

Tahun ini, para tetamu menerima cenderahati magnet istimewa menampilkan “SingaMau”, maskot yang direka sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan