WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Saifuddin Beri Penjelasan Kes Zara Qairina Di Dewan Rakyat Isnin Ini

14/08/2025 09:50 PM

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penjelasan di Dewan Rakyat pada Isnin ini berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata isu itu penting dijelaskan kerana banyak dibangkitkan Ahli Parlimen.

“Saya memilih Isnin untuk membuat kenyataan menteri dalam Parlimen mengenai isu ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada pukul 4 pagi.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan siasatan kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.

Jabatan Peguam Negara juga memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues selepas meneliti laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata polis akan berusaha mengesan pelaku dan memastikan keselamatan awam terjamin tanpa mengira status mangsa, susulan insiden serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Isu ini bukan tentang anak siapa, tetapi tanggungjawab polis memastikan ketenteraman dan keselamatan rakyat, terutama kanak-kanak. Saya serahkan kepada kebijaksanaan, ketangkasan polis untuk menguruskan dan saya doakan semoga anak dan isteri beliau segera pulih dari trauma,” katanya.

Semalam media melaporkan anak kepada bekas Menteri Ekonomi itu, yang berusia 12 tahun, diheret dan dicucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta bersama ibunya semasa mahu meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada sekitar pukul 1.45 tengah hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan