WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Niaga Hadapan MSM Susut Selepas Pengambilan Untung

14/08/2025 10:14 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini selepas terjejas oleh pengambilan keuntungan berikutan saranan dari kumpulan perindustrian Indonesia agar mandat biodiesel B50 ditangguhkan.

Menurut laporan, Persatuan Minyak Sawit Indonesia memberi alasan mengenai kekangan bekalan, dengan memberitahu untuk menangani keperluan campuran minyak sawit 50 peratus, ia memerlukan lonjakan pengeluaran MSM yang ketara. Ini akan mengalihkan bekalan dari pasaran eksport dan mengurangkan pendapatan daripada cukai eksport yang digunakan untuk mensubsidi program biodiesel

Mandat B50 adalah satu inisiatif nasional yang bertujuan mengurangkan import bahan api dan pelepasan karbon. Ia memerlukan gabungan 50 peratus biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit dengan diesel fosil. 

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pasaran itu turut menerima kesan daripada kerugian dalam niaga hadapan minyak biji sesawi di Bursa Komoditi Zhengzhou selain kelembapan dalam niaga hadapan minyak sawit serta minyak kacang soya di China.

"Pengukuhan dalam ringgit Malaysia turut memberi tekanan pada harga yang didenominasi ringgit," katanya.

Anilkumar menyatakan bahawa sebarang kelewatan dalam pelaksanaan mandat B50 akan menjejaskan banyak peluang kenaikan dalam pasaran minyak sawit.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran semakin melemah dengan kebimbangan terhadap penyusutan permintaan pada minggu-minggu akan datang selepas pengukuhan harga baru-baru ini selain tahap pengeluaran yang tinggi.

"Kami melihat harga sokongan pada paras RM4,350 satu tan dan rintangan pada RM4,450 sau tan," katanya.

Pada penutup, bulan semerta Ogos 2025 serta kontrak September 2025 jatuh RM29 masing-masing kepada RM4,338 satu tan dan RM4,358 satu tan, manakala Oktober 2025 turun RM32 kepada RM4,403 satu tan.

Kontrak November 2025 berkurangan sebanyak RM34 kepada RM4,436 satu tan, Disember 2025 merosot RM39 kepada RM4,450 satu tan dan Januari 2026 adalah RM35 lebih lemah kepada RM4,451 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 88,920 lot berbanding 97,321 lot yang dicatatkan pada hari Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 244,194 kontrak daripada 236,360 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan jatuh RM20 kepada RM4,370 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan