WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Perak, NADMA Sumbang RM240,000 Kepada Mangsa Ribut Di Pasir Salak

15/08/2025 07:09 PM

PASIR SALAK, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perak dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan bantuan wang ihsan berjumlah RM240,000 kepada lebih 200 penerima yang terjejas akibat ribut luar biasa di Seberang Perak dan Kampung Gajah pada 13 April lepas.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah Khairul Azwan Harun berkata bantuan itu membuktikan keprihatinan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat, termasuk melibatkan hal bencana alam.

“Bantuan ini telah diberikan dalam dua fasa, pada fasa pertama selesaikan hal baik pulih 21 rumah yang terkesan dan menelan belanja sekitar RM170,000.

“Untuk fasa kedua, kami agihkan kepada 190 penerima, selain nilai sumbangan ini berbeza serta bergantung kepada tahap kerosakan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Perak Tengah di Dewan Orang Ramai Felcra Seberang Perak di sini hari ini.

Pada 13 April lepas, media melaporkan lebih 50 rumah rosak susulan ribut berserta hujan lebat yang melanda daerah Perak Tengah dan Larut Matang Selama (LMS) sekitar 4.30 petang hingga 6.30 petang.

Selain itu, Khairul Azwan berkata pihaknya berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kampung Gajah Fasa Dua bernilai kira-kira RM200 juta dapat dilaksanakan segera bagi melindungi kawasan itu daripada risiko banjir dan ribut.

Beliau berkata kelewatan pelaksanaan projek itu akan menimbulkan kebimbangan kerana penduduk berisiko berdepan bencana banjir dan ribut setiap tahun akibat air pasang besar atau hujan lebat berterusan.

“Sekiranya RTB ini dapat disegerakan, ia akan mengurangkan kos pengurusan bencana yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri dan agensi berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan