WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usahawan Di Premis MARA Catat Jualan RM2.2 Bilion Pada 2024 - Rubiah

18/08/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Usahawan yang menyewa premis perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak RM2.2 bilion pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata untuk enam bulan pertama tahun ini pula, nilai jualan terkumpul bagi 6,557 ruang niaga di seluruh negara adalah sebanyak RM1.01 bilion, meningkat 5.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Selain itu, sebanyak 14,943 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi perniagaan di bawah premis MARA di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu sejauh manakah sumbangan arked MARA terhadap ekonomi setempat dan penjanaan peluang pekerjaan serta pendapatan usahawan bumiputera sehingga Jun 2025.

Rubiah berkata arked MARA terus mendapat sambutan dalam kalangan usahawan kecil, namun bilangan ruang niaga yang terhad masih menjadi cabaran utama selain kebanyakan premis berkenaan dibina sekitar tahun 1970-an dan 1980-an yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan.

Beliau berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), MARA telah memohon peruntukan RM50 juta bagi menaik taraf arked, bazar dan premis perniagaan agar lebih bersesuaian, menarik dan selesa untuk usahawan serta pengunjung.

Menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai penyewaan premis MARA kepada agensi kerajaan lain, Rubiah berkata MARA kini sedang menilai semula dasar pengagihan lot premis perniagaan termasuk cadangan mengehadkan bilangan lot maksimum kepada setiap penyewa serta menyemak semula peruntukan ruang niaga yang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera tidak terjejas dan kekal menjadi keutamaan MARA dalam pembangunan ekonomi tempatan.

Rubiah berkata dasar MARA menetapkan penyediaan premis perniagaan adalah untuk pembangunan usahawan bumiputera, namun penyewaan kepada syarikat berkeupayaan dan agensi kerajaan tidak bercanggah selagi ia mematuhi garis panduan sedia ada serta tidak menjejaskan penyertaan usahawan kecil.

“Memang terdapat beberapa premis MARA termasuk di arked dan bangunan komersial disewakan kepada agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagai contoh di Melaka terdapat penyewa seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga) Nasional, Majlis Agama Islam Melaka dan Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd.

“Ini adalah sebagai satu langkah menjana hasil sewaan serta memastikan penggunaan optimum ruang yang tidak mendapat sambutan peniaga dan kurang strategik untuk operasi perniagaan, tambahan pula penyewaan yang melibatkan agensi kerajaan ini berdasarkan fungsi dan peranan agensi berkenaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan