KOTA KINABALU, 18 Ogos (Bernama) -- Persepsi negatif masyarakat terhadap teknologi nuklear yang sering dikaitkan dengan isu keselamatan dan kesan buruk terhadap kesihatan serta alam sekitar perlu diperbetul bagi memastikan industri berkenaan berkembang maju di negara ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, industri, akademia dan pertubuhan profesional diperlukan untuk membetulkan persepsi berkenaan dengan pendekatan komunikasi inklusif, telus dan berasaskan fakta sains.
"Persepsi masyarakat terhadap teknologi nuklear masih menjadi antara cabaran utama dalam usaha negara memajukan bidang ini. Teknologi nuklear telah terbukti membawa pelbagai manfaat, namun kekhuatiran terhadap aspek keselamatan dan risiko radiasi masih menebal dalam kalangan masyarakat umum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 edisi ke-28 di sini hari ini.
Kementerian melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) giat melaksanakan program kesedaran, pendidikan, kerjasama strategik dan penyertaan dalam forum ilmiah kebangsaan dan antarabangsa.
"Dengan pendekatan holistik dan komunikasi berkesan, saya percaya masyarakat akan menerima teknologi nuklear sebagai aset strategik negara sekiranya dikendalikan secara beretika dan selamat," katanya.
Mohammad Yusof berkata dalam era teknologi moden pada masa ini, penggunaan sumber radiasi tidak dapat dielakkan sama ada dalam sektor perubatan, pertanian, industri, penyelidikan mahupun keselamatan negara.
"Perlindungan sinaran menjadi teras utama dalam memastikan setiap aplikasi teknologi dikawal selia secara selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia serta alam sekitar, seperti ditekankan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) … ," katanya.
Mengulas mengenai persidangan itu, beliau berkata Malaysia memperkukuh peranannya dalam agenda keselamatan teknologi sinaran pada peringkat serantau menerusi penganjuran persidangan berkenaan membawa tema “Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection” menekankan keselamatan sinaran asas utama menjamin kelestarian dan daya tahan tenaga global.
Penganjuran persidangan berkenaan selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi termasuk sektor tenaga dan air.
“Ini seiring dengan pertimbangan kerajaan terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat untuk memenuhi keperluan masa depan, aspek keselamatan sinaran kekal menjadi keutamaan.
"Persidangan itu menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan professional teknikal. Sepanjang penganjuran, ia menampilkan 19 pembentangan kertas kerja teknikal, sesi forum, bengkel, lawatan teknikal serta pameran teknologi berkaitan keselamatan sinaran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial