KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- BMI, unit Fitch Solutions, berkata ekuiti dan mata wang Asia berjaya mengharungi dengan baik kejutan tarif Amerika Syarikat (AS) setakat ini, dengan masing-masing meningkat sebanyak 18 peratus dan tiga peratus sejak awal tahun.
“Bagaimanapun, Thailand menongkah arus dengan ekuitinya dan juga baht gagal mencatatkan kenaikan sejak April.
"Kami berpandangan, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakstabilan politik domestik dan konflik sempadan yang berterusan dengan Kemboja," katanya menerusi laporan Soalan dan Jawapan Prospek untuk Asia hari ini.
BMI berkata ia menurunkan unjuran pertumbuhan hanya dalam lingkungan 0.2-0.3 mata peratusan bagi kebanyakan ekonomi utama lain disebabkan oleh tarif AS.
“Baru-baru ini kami telah membuat semakan semula terhadap unjuran KDNK 2026 kami susulan perjanjian tarif yang dicapai Julai dan awal Ogos.
"Dalam kalangan negara-negara, kami membuat semakan semula paling ketara ke atas Kemboja, kerana pergantungannya yang agak tinggi terhadap AS sebagai pasaran eksport," katanya.
Menurutnya, bagi eksport, data yang ada menunjukkan eksport Asia ke pasaran di luar AS kebanyakannya masih kekal mengikut aliran.
“Namun, ini tidak menolak kemungkinan pelarasan perdagangan pada masa depan dengan negara-negara lain di seluruh dunia.
“Kesan tarif, berkemungkinan besar, masih belum dirasai sepenuhnya dan kami berpandangan akan mula dirasai pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial