WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Tegur PIE, Denda Pengarah Akibat Langgar Syarat Penyenaraian

18/08/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) mengeluarkan teguran awam kepada P.I.E. Industrial Bhd (PIE) dan dua pengarahnya kerana melanggar keperluan penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama).

Bursa itu berkata PIE gagal membuat pengumuman segera selepas anak syarikat milik penuhnya, Pan-International Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (PIESB) memperoleh pelanggan luar negara yang khusus dalam pelayan dan suis pada 31 Mac, 2024.

“Kilang terbesar PIESB akan diperuntukkan sepenuhnya untuk pengeluar berkenaan, dengan pengeluaran pertama dijadualkan pada akhir 2024 dan diikuti pengeluaran besar-besaran pada 2025.

“Pendapatan yang dijangka bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 dan 31 Dis, 2026 adalah sebanyak RM2.5 bilion,” menurut kenyataan Bursa.

Bagaimanapun, PIE hanya mengumumkan penganugerahan kontrak itu pada 19 April 2024, manakala pendedahan mengenai jangkaan pendapatan dibuat pada 23 April 2024.

Bursa juga menegaskan bahawa pengarah urusan PIE telah mendedahkan maklumat material kepada Kenanga Investment Bank Bhd pada 17 April 2024 dan The Edge Malaysia pada 18 April 2024, iaitu sebelum pengumuman rasmi kepada Bursa.

Dua pengarah PIE pada ketika itu pula telah membenarkan syarikat melakukan pelanggaran.

Susulan daripada pelanggaran itu, Pengarah Urusan Mui Chung Meng dikenakan teguran awam dan denda RM100,000, manakala Pengarah Eksekutif Lan Kuo-Yi turut menerima teguran awam serta denda RM50,000.

Bursa Malaysia mengingatkan PIE dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab mereka untuk mengekalkan standard tadbir urus korporat yang sewajarnya serta akauntabiliti kepada pemegang saham dan orang awam pelabur.

 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan