WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelantan Berpotensi Jadi Pengeluar Utama Bawang Tempatan - Mohamad Sabu

19/08/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) optimistik bahawa Kelantan berpotensi untuk menjadi pengeluar utama bawang tempatan pada tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kesuburan tanah di negeri itu dilihat bersesuaian untuk penanaman bawang dan percubaan awal menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Beliau berkata KPKM telah diluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi Projek Pembangunan Tanaman Bawang di tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Kelantan, melibatkan 80 peserta dengan keluasan 94.85 hektar, iaitu 11 petani (40 hektar) di Selangor, 52 petani (26.85 hektar) di Kelantan dan 17 petani (28 hektar) di Perak.

“Terkini, negeri Kelantan telah melaksanakan tuaian yang pertama dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak 18.4 tan metrik dengan keluasan 4.6 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, Bachok yang menanam menggunakan varieti BAW1 dan BAW2. 

“Hasil tuaian ini menunjukkan suatu pencapaian yang positif apabila mencatatkan pengeluaran yang tinggi sekitar empat tan metrik per hektar, jadi insya-Allah tahun depan kita mahu Kelantan jadi pengeluar utama bawang ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi KPKM di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai kos pengeluaran, Mohamad menjelaskan kajian menyeluruh masih belum dilaksanakan bagi menentukan perbandingan kos sebenar antara bawang tempatan dan bawang import.

“Mengenai kos pengeluaran, kita masih belum mempunyai angka yang tepat. Ada yang menggunakan kaedah rumah hijau dan kosnya agak tinggi. Secara keseluruhan, kerajaan belum memuktamadkan berapakah kos pengeluaran untuk satu tan bawang tempatan. 

“Kos juga berbeza mengikut kaedah sama ada ditanam secara terbuka atau dalam rumah hijau. Namun begitu, kita melihat bahawa jurang harga dengan bawang import tidaklah terlalu jauh," katanya.

Beliau berkata meskipun belum ada angka rasmi, kerajaan menjangkakan pengeluaran bawang tempatan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bawang sehingga 30 peratus.

“Tahun ini (kita fokus kepada) pengeluaran benih, tahun depan akan disebarkan. Insya-Allah kalau semuanya berjalan dengan lancar kita dapat jimat satu pertiga, 30 peratus daripada pengimportan bawang, itu harapan kita,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan