WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU Pembaharuan Semula Bandar Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama Khamis Ini - Nga

19/08/2025 04:01 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bacaan kedua dan ketiga dijadualkan pada 27 Ogos ini, sekali gus menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.

“Saya rasa sudah tiba masanya, kerana tahun depan negara akan menyambut 70 tahun kemerdekaan, kita perlukan akta baharu untuk menghidupkan semula bandar-bandar lama,” katanya.

Nga berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2026 Bersama Pemegang Taruh KPKT di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha Datuk M Noor Azman Taib.

Nga berkata KPKT melalui PLANMalaysia dan agensi berkaitan telah mengadakan 101 sesi libat urus, termasuk dua kali bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, menjadikannya jumlah tertinggi dalam sejarah kementerian.

“Kami telah jumpa pemaju, persatuan pembeli rumah, rukun tetangga, ahli akademik, universiti, NGO malah Ahli Parlimen. Ini membuktikan apa sahaja yang mungkin dilakukan sudah kami usahakan. Justeru, saya percaya sudah tiba masanya rang undang-undang ini dibentangkan,” katanya.

Nga turut menegaskan bahawa RUU Pembaharuan Semula Bandar adalah tonggak penting bagi memastikan bandar lama dihidupkan semula, seterusnya menyokong agenda pembangunan mampan negara.

Mengulas sama ada kementerian akan mengekalkan pendekatan whole-of-government atau memberi peruntukan terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Nga berkata pembangunan mampan kekal sebagai kerangka utama Ekonomi MADANI.

“Sudah tentunya KPKT akan memperhebat lagi mendapatkan peruntukan untuk disalurkan kepada PBT supaya mereka dapat menjadi agensi pelaksana yang berkesan. Tahun lepas, daripada 6,611 projek kemudahan awam yang kita sempurnakan, kebanyakannya dilaksanakan melalui PBT masing-masing,” katanya.

Mengenai isu perumahan mampu milik, Nga berkata Belanjawan 2026 yang juga tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), akan memberi tumpuan kepada reformasi sektor perumahan dengan memperkenalkan teknologi baharu untuk mengurangkan kos dan tempoh pembinaan.

“Kementerian akan meningkatkan kualiti rumah tanpa menjejaskan kemampuan harga. Harga siling rumah mampu milik bandar kini ditetapkan pada RM300,000. Namun, fokus kerajaan bukan sekadar menetapkan harga, sebaliknya memastikan pendapatan rakyat ditingkatkan,” katanya.

Nga berkata dengan pendapatan isi rumah lebih tinggi, rakyat akan lebih berupaya memiliki kediaman, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Penganjuran sesi hari ini bertujuan mengumpul pandangan dan cadangan daripada pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dengan KPKT dalam merangka Inisiatif Belanjawan 2026.

Fokus utama perbincangan adalah meliputi sektor perumahan selesa dan mampu milik, pengurusan sisa pepejal yang lestari, kesiapsiagaan menghadapi bencana, kelestarian bandar dan komuniti serta pemerkasaan perkhidmatan kerajaan tempatan.

Sebanyak 330 pemegang taruh hadir mewakili pelbagai sektor termasuk pemaju perumahan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, persatuan komuniti, pihak universiti serta agensi-agensi Kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan