WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pertandingan Tenun Pahang Diraja Terima 103 Peserta, Tawar Hadiah Berjumlah RM104,000

19/08/2025 07:08 PM

KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Penganjuran julung kali Pertandingan Tenun Pahang Diraja Piala Tunku Azizah mendapat sambutan menggalakkan dengan 103 peserta dengan jumlah keseluruhan 206 produk dihasilkan.

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa terharu dan sukacita atas sambutan terhadap pertandingan yang dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja serta disokong Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu. 

Baginda yang juga pengasas dan pengerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah pertandingan berkenaan merupakan platform penting dalam memperkasakan serta memperluas pengaruh Tenun Pahang Diraja di peringkat nasional dan antarabangsa. 

“Pertandingan bertujuan mencungkil bakat kreatif dan inovatif dalam kalangan penenun untuk menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik serta kemahiran dengan potensi nilai komersial,” titah baginda menerusi kenyataan media hari ini.

Pertandingan Tenun Pahang Diraja ini melibatkan penyertaan individu, pelajar, usahawan serta banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.

Baginda bertitah semua produk yang dipertandingkan iaitu kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi itu akan dinilai oleh lima juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.

Juri profesional diketuai oleh Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibantu empat lagi pakar tekstil negara,Dr Habibah Abdul Jabar, Prof Dr Norwani Md Nawawi, Noorizal Ramly dan Noridah Johan.

“Panel juri akan membuat penilaian berdasarkan empat kriteria iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi dan komersial. Paling utama ialah penghasilan produk mesti menggunakan kaedah pembentukan tangan termaktub dalam definisi kraftangan yang digariskan oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). 

“Penggunaan mesin adalah tidak dibenarkan. Setiap produk yang dihasilkan wajib menerapkan nilai warisan Malaysia sama ada dalam aspek motif, warna, teknik pembuatan dan amalan budaya,” titah baginda.

Pertandingan berkenaan menawarkan hadian wang tunai keseluruhan RM104,000 selain piala dan sijil.

Majlis penyampaian hadiah Piala Tunku Azizah akan diadakan bersama Majlis Perasmian Temasya Warisan Pahang pada 31 Ogos depan di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan dan  disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan