WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Miliki 13 Mercedes Benz: Bukan Sekadar Koleksi, Ia Kenangan Bersama Bapa - Masaud

20/08/2025 10:06 AM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

PARIT, 20 Ogos (Bernama) -- Bagi seorang peminat kereta klasik, Mercedes-Benz Model 115 E Series peninggalan arwah bapanya bukan sekadar sebuah kenderaan bahkan menjadi warisan berharga yang akan terus dijaga rapi walaupun usianya telah mencecah separuh abad.

Masaud Mansor, 62, yang juga Penasihat Kelab Rekreasi Permotoran Mercedes Benz Negeri Perak (GPMP) berkata kereta itu asalnya dibeli arwah bapanya terus dari Jerman pada 1975 sebelum dia sendiri mengambil alih tanggungjawab menjaga kenderaan tersebut selepas bapanya meninggal dunia.

“Selepas pemergian bapa, saya diamanahkan untuk menjaga kereta ini sejak tahun 1990 dan sehingga kini ia telah mengelilingi seluruh negara dan negara jiran tanpa sebarang masalah besar yang berlaku.

“Menariknya tentang kereta ini, ia bukan terletak pada klasik itu semata-mata tetapi ia mempunyai nilai sentimental dan kenangan saya bersama-sama arwah bapa pada masa kanak-kanak sehinggalah dia pergi meninggalkan saya dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Konvoi Merdeka Classic Mercedes di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri, di sini, hari ini.

Anak kelahiran Lekir Manjung itu berkata selain model tersebut dia turut memiliki 13 kereta Mercedes Benz dari pelbagai model lain termasuk W129, W116, W124, W126 serta SLR 129.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata dari segi penjagaan, dia tidak menghadapi masalah besar kerana mengenali ramai mekanik pakar di sekitar Manjung yang berpengalaman dalam selok-belok enjin serta komponen kenderaan klasik.

Katanya alat ganti juga tidak sukar diperoleh berikutan kewujudan rangkaian rakan pemilik serta kumpulan komuniti yang sentiasa membantu mencari komponen asli dan berkongsi minat yang sama.

“Bagi saya, menjaga kereta lama sama seperti kereta baharu. Bezanya, kereta moden lebih bergantung kepada komputer dan sistem diagnostik manakala model lama ini lebih mekanikal dan mudah diuruskan,” katanya.

Masaud berkata beliau membelanjakan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bagi penjagaan kereta, namun menganggapnya sebagai hobi sederhana yang tidak terlalu membebankan.

“Ia bukan hobi yang mahal atau diminati golongan kaya semata-mata, pokok pangkalnya kena ada minat yang mendalam dan tahu di mana untuk ia dibaiki sekiranya berlaku sebarang masalah terhadap kereta yang dimiiliki,” katanya.

Ditanya sebab utama lebih meminati Mercedes Benz berbanding model kenderaan klasik yang lain, katanya ia terarah kepada sudut teknikal termasuk sistem suspensi yang masih mantap dan selesa, menjadikan kereta keluaran Jerman itu kekal relevan hingga ke hari ini.

“Bukan nak memperkecilkan model lain cuma dari pengalaman memiliki dan menggunakan kereta model ini, bukan hanya reka bentuk yang menarik malah ketahanan enjin kereta ini juga menjadi sebab ia sentiasa menjadi pilihan kepada para peminat kereta klasik,” katanya.

Sementara itu, Presiden GPMP Yusri Yakub berkata program yang dianjurkan bersama Yayasan Ikhtiar Parit itu cukup istimewa apabila lebih 68 Mercedes-Benz klasik berjaya dikumpulkan, seiring meraikan 68 tahun kemerdekaan negara.

Katanya konvoi yang melibatkan laluan sejauh 78 kilometer (km) selain menyantuni pelbagai golongan di beberapa lokasi sekitar Parlimen Parit itu bertujuan memberikan kefahaman tentang erti kemerdekaan serta mewujudkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing.

“Konvoi ini bukan sekadar mempamerkan kenderaan klasik semata-mata, tetapi kami mahu memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan semua pihak termasuk pelajar sekolah.

“Inisiatif yang digerakkan ini juga diharap sedikit sebanyak menyumbang kepada kemeriahan kita untuk menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan