WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 540 Kanak-kanak Maut Secara Purata Setiap Bulan Di Gaza - PBB

20/08/2025 01:57 PM

ISTANBUL, 19 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Lebih 540 kanak-kanak menjadi korban secara purata setiap bulan di Gaza sejak serangan Israel disambung semula pada Mac lepas, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran bahawa tempat perlindungannya telah bertukar menjadi “tempat kematian” bagi orang awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Di Gaza, sekolah-sekolah UNRWA telah menjadi tempat perlindungan bagi ratusan ribu orang. Orang ramai mencari perlindungan di bawah bendera PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), namun tempat ini akhirnya menjadi lokasi kematian, termasuk bagi terlalu ramai kanak-kanak,” kata UNRWA dalam kenyataan di platform media sosial X.

“Kini tiada tempat yang selamat untuk kanak-kanak di Gaza,” katanya lagi sambil menuntut gencatan senjata segera.

Agensi-agensi PBB memberi amaran mengenai kesan dahsyat kempen ketenteraan berterusan Israel terhadap kanak-kanak Gaza, apabila sekolah, hospital dan rumah dibedil tanpa henti.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kebuluran telah meragut sekurang-kurangnya 266 nyawa rakyat Palestin, termasuk 112 kanak-kanak sejak Oktober 2023, berikutan sekatan semakin ketat dan kekurangan bantuan yang akut.

Israel telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan