WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Impak Teknologi Dalam "Menyalin" Warisan Budaya Negara

21/08/2025 11:33 AM


From Shanika Abdullatib

Revolusi Industri 4.0 menyaksikan penggunaan realiti maya (VR), kecerdasan buatan (AI) dan pengimbasan tiga dimensi 3D bukan lagi perkara asing dalam bidang pemeliharaan warisan budaya di kebanyakan negara, malah kini menjadi jambatan penting yang memperkukuh usaha tersebut. 

Di Malaysia, teknologi itu juga kian mendapat tempat, misalnya di Muzium Negara AR (realiti terimbuh) yang menyediakan aplikasi memaparkan informasi 28 koleksi terpilih di Muzium Negara dalam bentuk kandungan multimedia AR 2D dan 3D. Pengalaman AR ini hanya boleh dirasai oleh pengunjung yang melawat Muzium Negara.

Pada 2023, pengunjung di Muzium Perak di Taiping telah disajikan dengan pameran VR yang membolehkan mereka menyelami kehidupan di era pendudukan Jepun di Tanah Melayu secara imersif. 

Penggunaan teknologi digital ini membuktikan potensinya sebagai pemangkin pelancongan sejarah dan pendidikan generasi digital. Malah, warisan yang dahulunya bersifat fizikal dan "berakar pada tanah” kini dapat diangkat ke awan digital, divisualkan, disebarkan termasuk disentuh secara maya sekali gus menjadikannya lebih menarik dan mudah diakses.

Namun, sejauh mana teknologi ini benar-benar menyambung akar budaya kita, atau sekadar mencipta refleksi kosong?

 

PENGHAYATAN SEJARAH WARISAN LEBIH BERIMPAK

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka Ezlina Elias berkata  visual warisan yang diangkat menerusi teknologi menjadikannya lebih menarik bagi golongan muda, selain membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam penghayatan sejarah negara.

"Kalau kita berjaya visualkan warisan kita, malah proses itupun sebenarnya sudah dilakukan dalam skala tertentu, ia boleh jadi satu tarikan pelancongan baharu terutama buat generasi digital yang memang sukakan peranti elektronik untuk mendalami sejarah dalam konteks baharu," katanya kepada Bernama.

pic-2

Katanya berbeza dengan generasi 70-an dan 80-an yang bergantung pada buku untuk membayangkan sejarah, generasi kini dapat melihat sejarah melalui teknologi interaktif di laman web atau aplikasi digital. 

"Penghayatan dan apresiasi mereka terhadap sejarah mungkin akan lebih tinggi selain memberi impak kepada pelancong luar untuk lebih menghargai nilai budaya dan warisan negara kita.

"Kalau kita tidak mulakan sekarang, bila lagi? Teknologi sudah ada seperti manuskrip boleh didigitalkan dengan lebih mudah, manakala artifak pula boleh 'diawet' secara maya terlebih dahulu sebelum kita usahakan kepulangan fizikalnya," saran beliau. 

Justeru, inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk membawa pulang dan mendigitalkan manuskrip serta artifak dari era Kesultanan Melayu Melaka, terutama berkaitan Laksamana Hang Tuah yang kini tersimpan di 14 negara seperti Vatican City, Itali, India, Jepun dan Turkiye akan membuka peluang kepada orang ramai mengenali dan menghargai “keaslian" sejarah negara.

Misi tersebut sedang giat dilaksanakan kerajaan Melaka dan beberapa institusi penyelidikan. Sebelum ini, sebilah sundang (senjata seakan keris namun berbilah lebih besar) dan sepasang keris hukum dipercayai milik Hang Tuah telah dipulangkan melalui waris Hang Tuah dari Kepulauan Bintan, Indonesia.   

Usaha pendigitalan manuskrip menggunakan teknologi AR pula berjaya dilakukan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu ke atas manuskrip al-Quran dari Terengganu berusia sekitar 100 hingga 200 tahun yang telah dimamah usia dengan helaian kertas sudah rapuh sukar dibelek.

Hasilnya, setiap helaian manuskrip digital al-Quran tersebut boleh dilihat dengan lebih dekat dan jelas, seolah-olah seperti melihat naskhah sebenar.

Katanya Hang Tuah Center di Duyong yang menggunakan teknologi AI bagi menghasilkan imej dalam tayangan video serta VR berkaitan aktiviti perdagangan, mata wang dan bahasa antara contoh terbaik yang kini digunakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sebagai usaha mengilustrasikan sejarah Melaka dengan lebih tepat, menarik dan interaktif.  

Mengulas lanjut, Ezlina berkata pemeliharaan warisan juga tidak boleh lagi dilihat secara konvensional, iaitu hanya secara fizikal, sebaliknya perlu berteraskan inovasi teknologi dan kerjasama antarabangsa terutama melibatkan negara-negara ASEAN. 

"Ini bukan soal masa lalu semata-mata, tetapi soal masa depan, supaya anak cucu kita dalam tempoh 100 tahun dari sekarang masih dapat melihat, menghargai dan berasa bangga dengan akar budaya mereka yang dapat dilihat serta disentuh melalui teknologi yang dibangunkan sekarang. 

"Ini penting kerana rata-rata negara ASEAN menyatakan cabaran utama era kini dalam memelihara dan memulihara warisan ialah ancaman perubahan iklim yang semakin memberi impak kepada tapak-tapak warisan," katanya.

 

KEASLIAN WARISAN MUNGKIN TERJEJAS

Bagi Ahli Arkeologi Berdaftar Jabatan Warisan Negara Mohd Nasruddin Rahman, teknologi ialah pedang dua mata - membantu dari segi dokumentasi dan penyebaran tetapi pada masa yang sama mampu mencabar makna sebenar warisan yang berakar pada keaslian dan "roh" budaya.

Beliau berkata pihaknya pernah menjalankan kajian di Bukit Melaka menggunakan teknologi moden seperti alat imbasan dan rakaman canggih, hasil kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan teknologi itu banyak membantu mendokumentasikan dapatan dengan lebih tepat, sistematik dan mudah. 

pic-3

Pun begitu katanya kecanggihan teknologi sebagai alat memelihara warisan budaya menimbulkan kebimbangan apabila keaslian dan nilai roh sebenar warisan itu semakin terhakis akibat pendigitalan berlebihan.

“Definisi warisan itu menuntut sesuatu yang asli. Apabila warisan dijadikan bahan komersial secara berlebihan, khususnya dalam bentuk hiburan, maka nilai sebenar warisan itu akan hilang,” ujarnya.

Beliau berkata aspek itu dapat dilihat pada lagu tradisional dan tarian yang semakin terancam apabila teknologi digunakan untuk menyalin atau menghasilkan semula karya-karya lama secara tiruan. 

“Teknologi membolehkan kita meniru keaslian. Ini masalah besar bagi warisan tidak ketara, kerana ia tidak lagi mewakili roh dan konteks asal budaya tersebut.

"Itu belum lagi budaya popular dan kandungan media sosial yang mendorong generasi muda untuk lebih tertarik kepada unsur moden berbanding nilai tradisional yang ada kalanya mereka tidak mampu membezakan yang mana satu asli," katanya.

 

IMPAK HARTA INTELEK WARISAN

Mohd Nasruddin berkata isu hak milik intelek dalam era digital juga menambah cabaran terhadap pemuliharaan warisan. 

“Kita kena faham, tidak semua komuniti memahami bagaimana hendak melindungi hak mereka dalam dunia digital. Akibatnya, ada warisan yang tidak sepatutnya didigitalkan kerana kita perlukan ketulenan dan kehadiran fizikal untuk merasainya,” katanya. 

pic-4

Bukan itu sahaja, menurut beliau kewujudan muzium maya seperti yang ditonjolkan dalam beberapa pameran bertema di Muzium Negara dan beberapa muzium di bawah Perzim juga secara tidak langsung membuka ruang kepada pengguna ‘mengunjungi’ muzium tanpa melihat artifak sebenar.

Di negara ini, Muzium Maya Terengganu ialah muzium maya pertama di Malaysia dan ketiga di dunia, yang menempatkan sekitar 33,000 artifak sejarah milik Lembaga Muzium Negeri Terengganu secara digital.

Bagaimanapun Mohd Nasruddin berkata kebergantungan pada pengalaman maya semata-mata boleh menyebabkan pengunjung hilang pengalaman melihat dan menghayati artifak asal. 

"Ini mewujudkan jurang besar antara warisan yang hidup dan warisan yang disalin. Akhirnya, secara perlahan-lahan (masyarakat) hanya akan mewarisi salinan bukan warisan sebenar,” tegasnya.

Walaupun teknologi memainkan peranan penting dalam dokumentasi, pendidikan dan penyebaran maklumat budaya, Mohd Nasruddin berpendapat pendekatan lebih seimbang perlu digunakan agar keaslian tidak dikorbankan demi kemudahan digital semata-mata.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan