WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Juruelektrik Didakwa Cedera Tiga Anak Tiri Di Seremban

21/08/2025 03:57 PM

SEREMBAN, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencederakan tiga anak lelaki tirinya dengan sebatang paip polyvinyl chloride (PVC).

M. Satiskumar, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Sesyen iaitu di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim N. Kanageswari.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan tiga anak tirinya berusia 15, 16 dan 19 tahun dengan sebatang paip PVC di sebuah rumah di Taman Bukit Mutiara di sini pada 5.30 pagi 15 Ogos lepas.

R. Tharani, 39, ibu kandung kanak-kanak itu turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mencederakan anaknya berusia 16 tahun menggunakan pisau di tempat dan lokasi yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan Siti Khairiah Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM33,000 bagi tiga pertuduhan terhadap Satiskumar manakala Tharani dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Pasangan suami isteri itu juga diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan serta dilarang mengganggu atau menghubungi saksi sehingga kes selesai.  

Sebutan semula kesemua kes itu ditetapkan pada 24 Sept dan 29 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan