WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Benar Permohonan Na’imah Semak Keputusan Rujuk Persoalan Undang-Undang

21/08/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaannya  merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dibangkitkan balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu bukan remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

“Malah, terdapat isu perlembagaan yang jelas dan penting untuk diputuskan oleh mahkamah tertinggi. Persoalan yang dibangkitkan bukanlah dangkal atau penyalahgunaan proses mahkamah seperti diputuskan Mahkamah Sesyen, sebaliknya ia cabaran penting terhadap suatu peruntukan undang-undang,” kata hakim itu.

Dapatan kes itu akan memberikan kesan besar terhadap hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain memperincikan lagi had kuasa di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 Jan 2024, Na'imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan aset beliau termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur serta Pulau Pinang.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada 29 Feb 2024, Na'imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, pada 18 Feb lepas Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Na'imah atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam kes terbabit.

Na’imah memohon semakan terhadap keputusan itu untuk perkara berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan, namun undang-undang menetapkan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.

Sementara itu, semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Azura, Mahkamah Sesyen mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan nota prosiding diserahkan kepada Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry mewakili pihak pendakwaan, manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan