WILAYAH - SELATAN > BERITA

JANM Peruntuk RM1 Juta Laksana Program Kampung Angkat MADANI Di Kampung Minyak Beku

23/08/2025 06:32 PM

JOHOR BAHRU, 23 Ogos (Bernama) -- Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Minyak Beku di Batu Pahat kira-kira 120 kilometer ke utara dari sini.

JANM menerusi kenyataan memaklumkan ia melibatkan beberapa projek yang dikenal pasti akan dilaksanakan sehingga Disember tahun ini. 

"Ia termasuk membina pagar di kawasan perkuburan, menyediakan kemudahan dan prasarana pengurusan jenazah.

"Selain menyediakan kemudahan saluran paip air kepada 16 buah rumah penduduk dan menaik taraf Balai Islam," menurut kenyataan itu.

JANM memaklumkan pihaknya hari ini turut mengadakan Majlis Penyerahan Mula Projek menaik taraf kemudahan saluran paip air dan membina pagar kubur di kampung berkenaan yang disempurnakan oleh Akauntan Negara Datuk Nor Yati Ahmad.

Menurutnya sebanyak 16 rumah yang sejak sekian lama bergantung pada sumber air perigi akan mendapat bekalan air bersih dan selamat apabila projek berkenaan siap.

"...manakala pembinaan pagar di tanah perkuburan pula akan dapat memelihara kebersihan dan mengelakkan pencerobohan haiwan liar di kawasan perkuburan. 

"Projek menaik taraf Balai Islam pula diharapkan dapat memberikan keselesaan dan menarik minat lebih ramai penduduk kampung untuk menjalankan dan menyertai aktiviti yang telah dirancang," katanya.

JANM pada masa sama turut menyerahkan sebuah van jenazah bagi menggantikan van sedia ada di Masjid Jamek Haji Arshad yang telah uzur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan