WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Boling Remaja Asia: Ethan-Muhammad Aiman Sumbang Emas Pertama Malaysia

23/08/2025 08:14 PM

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Kem boling negara hari ini ceria apabila gandingan Ethan Damien Goh dan Muhammad Aiman Syahin menghadiahkan Malaysia pingat emas sulung pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-22 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid di sini.

Pasangan negara itu mencatatkan 2,696 jatuhan pin untuk merangkul emas dalam acara doubles lelaki.

Ethan-Muhammad Aiman mengatasi gandingan Kuwait Abdulrzzaq Mohamad-Hassan Qasem yang meraih perak dengan 2,611 jatuhan pin manakala wakil Jepun Eita Saotome-Fumine Suda memperoleh gangsa dengan 2,594 jatuhan pin.

Muhammad Aiman, 19, berkata mereka lega selepas berjaya bangkit daripada permulaan perlahan dan mula mendapat rentak pada pertengahan saingan sebelum muncul juara.

"Alhamdulillah dapat sumbang pingat emas pertama buat Malaysia. Kemenangan ini kami dedikasikan untuk barisan jurulatih, rakan sepasukan dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Sementara itu, Ethan, 15, berkata kejayaan ini menyuntik semangat untuk memburu pingat emas kedua dalam acara berpasukan lelaki yang akan bermula esok hingga Isnin.

Dalam perkembangan lain, pasangan Malaysia Wan Muhammad Zarif Ikram dan Muhammad Danial Abu Samah menamatkan saingan di tempat ke-23 dengan 2,265 jatuhan pin.

Dalam acara doubles wanita, pasangan negara Adelia Nur Irwan Syazalee-Adania Mohd Redzwan hampir meraih pingat apabila menamatkan saingan di tempat keempat dengan 2,431 jatuhan pin, manakala pasangan Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi dan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam berada di kedudukan kelapan dengan 2,249 jatuhan pin.

Pasangan Singapura, Lim Shi En-Nur Irdina Hazly merangkul emas dengan 2,637 jatuhan pin, diikuti pasangan Korea Selatan Paek Ye Dam-Jo Yoon Seo yang membawa pulang perak (2,473) manakala gangsa menjadi milik pasangan Jepun Kiri Watanabe-Mao Kondoh (2,456).

Kejohanan ini akan melabuhkan tirai pada 27 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan