WILAYAH - SELATAN > BERITA

Johor Umum Peruntukan RM3.87 Juta Bantuan, Pemerkasaan Orang Asli

23/08/2025 08:46 PM

JOHOR BAHRU, 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor hari ini mengumumkan sembilan inisiatif bantuan dan pemerkasaan Orang Asli dengan peruntukan RM3.87 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 yang diadakan di Kluang.

Beliau berkata inisiatif tersebut meliputi bantuan tunai sekali beri (one-off) sebanyak RM200 kepada 5,041 ketua isi rumah (KIR) serta pemberian sekali beri RM300 kepada 46 tok batin.

"Selain itu, sumbangan bakul makanan kepada KIR berkenaan turut diberikan serta bantuan komputer riba kepada 73 pelajar universiti dan RM10,000 geran khas bagi menampung kos pengurusan dan program di 60 kampung Orang Asli," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Zahari berkata sebanyak 17 dewan dan 32 balai raya serta 44 kemudahan dan peralatan sukan kampung Orang Asli turut dinaik taraf.

"Sebanyak 37 buah masjid dan surau juga akan menerima pemberian sumbangan RM10,000," katanya.

Menurut Zahari, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Komuniti Orang Asli Johor bagi menyelaras perkara berkaitan hal ehwal pembangunan komuniti itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan