WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Gempa Segamat: Bukti Fenomena Pengaktifan Semula Sesar Kuno Masih Berlaku - JMG

25/08/2025 12:28 PM

JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- Kejadian gempa bumi di Segamat semalam mengingatkan bahawa kerak benua di Semenanjung Malaysia masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor Noorazhar Ngatimin berkata semakan awal peta geologi menunjukkan pusat gempa Segamat terletak berhampiran lanjutan Zon Sesar Mersing, yang berorientasi Barat-Barat Laut hingga Timur-Tenggara.

“Kejadian ini membuktikan fenomena pengaktifan semula sesar kuno, yang melepaskan tenaga tektonik tersimpan di dalam kerak benua. Kedalaman gempa (lebih kurang 10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata fenomena pengaktifan semula sesar kuno bukan perkara baharu di Semenanjung dengan rekod gempa terdahulu termasuk di Bukit Tinggi, Pahang (2007-2010); Kenyir, Terengganu (1984); Kuala Pilah, Negeri Sembilan (1987) dan Manjung-Temenggor, Perak (1990-an).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan pada 6.13 pagi di Segamat, disusuli gegaran kedua magnitud 2.8 di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang.

Noorazhar berkata gegaran lemah turut dirasai di Mersing, Kluang, Batu Pahat dan kawasan sekitar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata walaupun risikonya rendah berbanding di Sumatera, langkah proaktif tetap diperlukan bagi melindungi keselamatan rakyat serta kestabilan ekonomi.

Antara langkah penting ialah pemantauan berterusan jaringan seismik, pemetaan semula sesar aktif/kuno serta pembangunan sistem amaran awal bagi kesiapsiagaan awam dan infrastruktur kritikal.

Noorazhar turut berkongsi bahawa berdasarkan rekod penyelidikan, Johor pernah mengalami dua gempa bumi daratan pada 1922 iaitu pada 31 Januari (magnitud 5.4) dan 7 Februari (magnitud 5.0), yang menyebabkan kerosakan kecil di Muar.

“Peristiwa ini jarang berlaku kerana Semenanjung Malaysia terletak di atas Sunda Plate iaitu zon tektonik yang stabil,” katanya.

Beliau berkata Johor juga pernah merasai gegaran kecil pada 2021 dan 2023, namun pusat gempa ketika itu terletak di perairan luar pesisir berhampiran Sumatera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan