PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa untuk membangunkan 10 instrumen subsidiari yang telah dikenal pasti menjelang hujung tahun ini bagi memastikan pelaksanaan berkesan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2024.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata instrumen berkenaan melibatkan aspek tatacara, pentadbiran serta mekanisme klasifikasi kemudaratan dalam talian, namun tempoh yang diberikan perlu dipendekkan.
“Saya minta sebelum hujung tahun, kalau boleh lebih awal dari itu, mungkin dalam masa beberapa bulan kerana ONSA telah mula berkuat kuasa pada Julai.
“Untuk ia (ONSA) berfungsi dengan betul... dengan baik, perlukan 10 instrumen subsidiari. Ini yang kita akan fokuskan. Paling penting kita mahukan keadaan dalam talian ini lebih selamat dan dikurangkan mudaratnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata jenayah dalam talian masih berleluasa pada masa ini antaranya penggunaan teknologi 'deepfake' atau teknik palsu asli.
“Sebagai contoh, wajah Profesor Jomo Kwame Sundaram (ahli ekonomi) telah disalahgunakan melalui laman sosial Facebook walaupun akaun itu tiada kaitan dengan beliau,” katanya.
Beliau berkata sekiranya instrumen subsidiari seperti Kod Keselamatan Dalam Talian diwujudkan, platform media sosial tidak boleh membenarkan kandungan berbentuk penyamaran atau 'deepfake' disebarkan.
“Saya minta pasukan legal (undang-undang) MCMC (supaya) percepat proses ini sebab Menteri Undang-Undang (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said) utuskan surat kepada saya supaya ONSA dapat disegerakan,” katanya.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching sebelum ini berkata 10 instrumen subsidiari telah dikenal pasti merangkumi peraturan dan kod pelaksanaan ONSA dan dijangka selesai antara suku keempat 2025 dan suku kedua 2026 bergantung kepada kerumitan dan tahap ketersediaan setiap instrumen terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial