PASIR MAS, 25 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Kelantan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 173.35 tan metrik beras dari negara jiran dalam beberapa siri serbuan di sekitar Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli sepanjang tempoh dari 15 Julai hingga 15 Ogos.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan beras dianggarkan bernilai RM468,045 itu, melibatkan duti serta cukai sebanyak RM187,718, manakala anggaran nilai kenderaan yang digunakan mencecah RM1.39 juta.
Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM2.04 juta.
“Dalam operasi bersepadu ini, enam pemandu lori dan kelindan berjaya ditahan bersama 3,467 guni beras seberat 173,350 kilogram, yang dipercayai cuba diseludup masuk menggunakan lori kecil sebelum dipindahkan ke lori treler untuk dihantar keluar dari Kelantan.
“Antara lokasi serbuan termasuk Kampung Nibong, Bukit Bunga; Kampung Telaga Bijih dan Kampung Belimbing di Tanah Merah; Jalan Bukit Panau, Tanah Merah serta Jalan Bukit Tunku, Pasir Mas; dengan jumlah rampasan terbesar dicatat di Kampung Telaga Bijih iaitu 45 tan bernilai RM121,500,” katanya dalam sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Wan Jamal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata Kastam turut menyeru orang ramai agar tidak terbabit dengan aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, orang ramai diminta membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain.
“Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Sementara itu, Wan Jamal berkata pihaknya akan meningkatkan kawalan di tiga pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), yang dikhuatiri menjadi tumpuan penyeludup.
Beliau berkata ia susulan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok akan dirobohkan tidak lama lagi.
“Kastam bersedia dengan segala kemungkinan dan akan meningkatkan pemeriksaan di tiga pintu masuk ICQS iaitu Tumpat, Rantau Panjang dan Jeli,” katanya.
Wan Jamal berkata kastam tidak menolak kemungkinan bahawa penyeludup akan menggunakan ICQS untuk menyeludup kemasukan barang seludup mereka.
Beliau berkata pihaknya menyokong penuh tindakan kerajaan negeri yang akan merobohkan pangkalan haram, bagi mengekang kegiatan penyeludupan.
“Saya juga berharap menerusi pendekatan itu, kutipan cukai juga akan meningkat apabila mereka mula membawa masuk barangan melalui laluan sah dengan membayar cukai,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata sebanyak 153 pangkalan haram di tanah kerajaan negeri telah dikenal pasti Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, untuk dirobohkan.
Menurut Mohd Yusof operasi perobohan, akan dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pengguna dalam tempoh sebulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial