WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Selangor Perluas Pemberian Baucar Buku Kepada Pelajar Tingkatan Enam

25/08/2025 03:31 PM

SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memperluaskan pemberian baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada pelajar Tingkatan Enam dengan agihan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu lanjutan daripada pemberian baucar buku tersebut yang sebelum ini hanya dikhususkan kepada mahasiswa kelahiran Selangor yang melanjutkan pelajaran ke universiti. 

"Dari segi bilangan pelajar yang akan mendapat manfaat, kita akan buat kiraan mengikut data bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

"Permintaan memang banyak tetapi sebelum ini kita bagi khas kepada pelajar berasal dari Selangor melalui Persatuan Mahasiwa Selangor. Untuk Tingkatan Enam ini, insya-Allah kita akan agih sebelum akhir tahun atau paling awal pada Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan Enam Semester Satu 2025 di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Shah Alam yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Untuk Selangor, sejumlah RM894,750 BAP diperuntukkan bagi diagihkan kepada 5,965 pelajar Tingkatan Enam melibatkan Kolej Tingkatan Enam dan Pusat Tingkatan Enam seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata dengan peluasan pemberian baucer tersebut peruntukan sebanyak RM400,000 yang disediakan bagi inisiatif itu tahun ini dijangka akan bertambah tahun hadapan dan perkara tersebut akan dimasukkan dalam Belanjawan Selangor 2026.

Beliau berkata langkah itu akan membantu mengurangkan beban kewangan pelajar Tingkatan Enam dalam usaha mereka menambah sumber bacaan tambahan sebagai persediaan melangkah ke alam universiti.

"Pendidikan merupakan satu keutamaan kepada kerajaan negeri dan komitmen tinggi ini akan diterjemahkan dalam bentuk kewangan dalam jumlah tertinggi akan disediakan dalam belanjawan tahun depan," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Amirudin turut menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada 15 pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 bagi Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan