WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1,195 Sekolah Di Johor Laksana Program Kempen Antibuli

25/08/2025 05:54 PM

JOHOR BAHRU, 25 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,195 sekolah di seluruh Johor melaksanakan Program Kempen Antibuli Peringkat Negeri Johor secara serentak hari ini, dalam usaha memastikan gedung ilmu itu bebas gejala buli dan selamat untuk pembelajaran serta pembentukan sahsiah pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata ia antara inisiatif “Johor Safe Zone” dalam memastikan negeri itu aman, selamat dan sejahtera untuk generasi akan datang.

“Inisiatif itu simbol kesepaduan semua pihak melibatkan kerajaan negeri, agensi, jabatan, warga pendidik dan pelajar untuk membina kesedaran ‘Buli Bukan Budaya Johor’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Johor supaya terus bersama kerajaan negeri dalam membanteras budaya buli yang memerlukan kerjasama semua pihak.

Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah mahu gejala buli dibendung dan langkah penguatkuasaan lebih ketat perlu dilaksanakan segera dalam memastikan institusi pendidikan kawasan selamat bagi kanak-kanak.

Kerajaan Johor turut mewujudkan Hotline Aduan Buli 24 jam melalui talian 03-88849325 dan aplikasi WhatsApp melalui talian 014-8009325 bagi memudahkan orang ramai membuat laporan berkaitan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan