JAKARTA, 25 Ogos (Bernama) -- Berbaki enam hari lagi sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68, kontinjen pekak Malaysia lebih awal meraikan detik ‘bersejarah’ apabila menutup saingan dengan rekod baharu 25 pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada edisi kedua temasya Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia.
Emas ke-25 Malaysia diperoleh menerusi pemain boling wanita Siw Sing Hie, yang menjuarai kategori Masters selepas melakukan 1,491 jatuhan pin.
Secara keseluruhan kontinjen negara yang dibarisi 80 atlet dan pegawai kelihatan menonjol selepas meraih pingat emas menerusi olahraga (10 emas), boling (lapan emas), catur (lima emas) dan badminton (dua emas).
Kejayaan ini menandakan peningkatan luar biasa berbanding kutipan 15 pingat emas pada edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022, sekali gus membuktikan program pembangunan sukan pekak negara semakin matang dan berdaya saing.
Lebih manis, pencapaian 25 emas, 16 perak dan 11 gangsa bukan sahaja melepasi sasaran awal 16 emas, malah ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa besar baharu dalam arena sukan pekak serantau.
Semalam, dewan GOR Pulo Gadung menyaksikan detik mendebarkan apabila beregu campuran badminton Edmund Teo Seng Keong-Boon Wei Ying menewaskan pasangan tuan rumah Christian Agustinus Abas-Dzakiyya Amalia Ma’ruf untuk menghadiahkan emas ke-16 buat kontinjen negara.
Pasangan Malaysia itu memenangi set pertama 21-7 sebelum berhempas pulas mengesahkan kemenangan 26-24 pada set kedua, sekali gus memastikan kontinjen mencapai sasaran rasmi 16 pingat emas lebih awal daripada jangkaan.
Kempen bersejarah ini melabuhkan tirainya malam ini dengan Upacara Penutupan akan menjadi detik bersejarah buat negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial