WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPM Fadillah Tiba Di Busan, Ketuai Delegasi Malaysia Ke APEC EMM15

25/08/2025 08:09 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

BUSAN, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Busan, Korea Selatan pada Isnin, 4.45 petang waktu tempatan untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-15 (APEC EMM15).

Ketibaan Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air  disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz turut serta dalam delegasi itu.

Fadillah berada di Busan sehingga 29 Ogos sempena mesyuarat berkenaan serta beberapa lawatan kerja.

APEC EMM merupakan mesyuarat peringkat menteri di bawah kerangka APEC dan kesinambungan daripada sesi terdahulu yang berlangsung di Lima, Peru tahun lepas.

Antara agenda utama mesyuarat adalah perbincangan mengenai dasar dan inisiatif sektor tenaga selain usaha menggalakkan kerjasama serta pelaburan dalam kalangan ekonomi APEC.

Korea Selatan menjadi tuan rumah pada edisi kali ini, dengan tema mesyuarat “Accelerating Sustainable, Affordable, Reliable, Secure and Innovative Energy for a Prosperous Future.”

Hasil mesyuarat akan dimuktamadkan melalui satu Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Tenaga APEC (JMS).

Fadillah turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Korea Selatan, Hong Kong, China, New Zealand dan Brunei bagi memperluas jaringan kerjasama dalam bidang tenaga, khususnya yang menyokong agenda peralihan tenaga negara. 

Di samping itu, beliau juga akan mengadakan lawatan kerja ke Korea Hydro and Nuclear Power (KHNP), Saeul Nuclear Power Plant dan Doosan Enerbility, serta kunjungan ke Gangbyeon Wastewater Treatment Plant di Busan.

Fadillah turut dijangka menghadiri sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di bandar raya itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan