WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelajar Malaysia Rangkul Anugerah Naib Johan Dalam Pertandingan Robotik Di Korea

25/08/2025 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Javen Cheok, pelajar berusia 8 tahun dari Sri Kuala Lumpur International School, merangkul anugerah Naib Johan dalam Robot Survival Basic Category pada Pertandingan Robotik Pengaturcaraan Antarabangsa (IPRC) 2025 yang berlangsung di Seoul, Korea, awal bulan ini.

P3 Platform Sdn Bhd (P3 Platform) dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan Cheok merupakan satu-satunya pemenang daripada sekolah rakan antarabangsa, manakala semua pemenang lain berasal dari Korea.

"Kejayaannya menyerlahkan bakat dan kekuatan Malaysia yang semakin berkembang dalam pendidikan robotik dan pengekodan," menurut kenyataan itu.

IPRC ialah acara berprestij yang menggalakkan pelajar di seluruh dunia membangunkan bukan sahaja kepakaran teknikal, tetapi juga kreativiti, kerja berpasukan dan kerjasama global.

Acara itu dianjurkan oleh Roborobo Co. Ltd. (Roborobo), peneraju pasaran robotik pendidikan Korea, memanfaatkan kurikulum yang dibangunkan oleh Seoul National University untuk memupuk pemikiran logik, kreativiti, dan kemahiran menyelesaikan masalah pelajar menerusi produk inovatif.

Pertandingan itu menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara, mencabar mereka dalam kategori pengaturcaraan robotik, reka bentuk dan cabaran kemandirian, dengan Malaysia diwakili oleh 11 pelajar yang mempamerkan kemahiran mereka di pentas antarabangsa.

Ketua Perniagaan Global Roborobo Brian Yoon dalam kenyataan sama berkata kreativiti, ketekunan dan kemahiran menyelesaikan masalah yang dimiliki Cheok menjadi inspirasi kepada pelajar muda di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif P3 Platform Estee Mah berkata anugerah itu membuktikan bahawa dengan peluang yang tepat, kanak-kanak sekalipun mampu cemerlang dalam bidang teknologi dan inovasi pada peringkat global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan