WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Khazanah Masih Berperanan Penting Dalam Ekosistem Modal Teroka Negara

26/08/2025 09:52 AM

Oleh Saraswathi Muniappan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) --  Khazanah Nasional Bhd masih mempunyai peranan penting dalam ekosistem modal teroka negara terutamanya dalam menggalakkan keusahawanan dan memacu enjin pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Meskipun mengalami kerugian daripada pelaburannya dalam FashionValet Sdn Bhd baru-baru ini dana kekayaan negara itu tidak seharusnya patah semangat daripada matlamat asalnya untuk membantu syarikat baharu dan usahawan yang berpotensi besar kerana banyak lagi kejayaan lain yang telah dicapainya selain FashionValet.

Antara contoh terbaik adalah pelaburan dana itu dalam pengeluar tenusu Farm Fresh yang mencipta kesan limpahan besar dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa faedah ekonomi ke kawasan luar bandar.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School Universiti Putra Malaysia berkata penting bagi Khazanah Nasional untuk terus terlibat secara aktif dalam ekosistem modal teroka walaupun berdepan isu seperti FashionValet.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan adalah membuat penyelarasan semula dengan tadbir urus yang lebih kukuh, menjalin perkongsian pelaburan bersama, dan menumpukan  kepada sektor yang mempunyai nilai nasional strategik.

“Menghentikan sokongan terhadap ekosistem modal teroka akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam usaha untuk memupuk inovasi dan enjin pertumbuhan ekonomi masa depan,” katanya kepada BERNAMA ketika mengulas tentang kepentingan Khazanah untuk mengekalkan penyertaan aktif dalam ekosistem modal teroka meskipun isu yang dihadapinya baru-baru ini.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peranan Khazanah Nasional dalam ekosistem tersebut adalah untuk menjadi institusi efektif yang boleh menggalakkan keusahawanan.

"Kelak, pelaburan sedemikian akan menemui pelan strategiknya yang biasanya akan dilaksanakan melalui penyenaraian di bursa saham," katanya.

Beliau berkata, dalam mana-mana pelaburan, akan sentiasa ada risiko yang berkaitan dengan usaha niaga, justeru, pelabur perlu mempunyai toleransi yang tinggi terhadap kegagalan.

"Khazanah akan melaksanakan pelaburannya dengan bijak dan pendedahannya sepatutnya minimum berbanding kelas aset lain," kata Mohd Afzanizam.

Pada 2018, Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd melabur sebanyak RM47 juta dalam kepentingan minoriti dalam FashionValet, dengan pegangan Khazanah berjumlah RM27 juta.

Tahun lepas, kepentingan terkumpul mereka dalam platform e-dagang fesyen pertama negara itu dijual hanya pada harga RM3.1 juta sahaja.

Susulan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  telah menjalankan prosiding yang mendapati bahawa strategi menggabungkan pelbagai saluran jualan sekali gus yang berisiko, kejutan pasaran ekoran pandemik COVID-19 serta perubahan tingkah laku pengguna pascapandemik menjadi penyumbang kepada kerugian tersebut.

Dalam laporannya, PAC mengiktiraf proses dalaman ketat yang dilaksanakan Khazanah, namun mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada ditambah baik.

Khazanah menyambut baik dapatan serta syor oleh PAC dan komited untuk terus mengimbangi disiplin kewangan dengan objektif pembangunan negara berteraskan tadbir urus kukuh dan akauntabiliti jelas.

Mohd Afzanizam berkata penting bagi dana itu untuk memantau serta memperincikan dasar had kerugian dengan jelas.

“Langkah ini akan memberi ruang kepada Khazanah untuk meminimumkan potensi kerugian,” katanya.

Sementara itu,  Ahmed Razman Abdul Latiff menekankan tentang keperluan strategi penamatan pelaburan yang jelas, disokong tadbir urus, pemantauan serta pengawasan lebih kukuh menerusi pelantikan wakil lembaga bebas.

Beliau berkata Khazanah perlu memastikan syarikat pemula niaga memiliki model perniagaan yang boleh dikembangkan, aliran hasil yang mampan dan hala tuju keuntungan yang jelas, bukannya bergantung kepada gembar-gembur penjenamaan semata-mata.

“Pengesahan pasaran perlu dilaksanakan melalui ujian permintaan pelanggan yang ketat, penanda aras daya saing serta analisis sensitiviti sebelum modal dilaburkan,” katanya.

Mohd Afzanizam turut berpandangan Khazanah wajar memberi tumpuan kepada sektor agromakanan, yang memerlukan perhatian lebih mendalam dalam kalangan usahawan celik teknologi.

“Khazanah boleh memainkan peranan sebagai pemangkin. Mereka telah membuktikan kejayaan melalui pelaburan dalam Farm Fresh Bhd. Mungkin sudah tiba masanya untuk meneliti subsektor agromakanan lain seperti sayur-sayuran dan ternakan,” katanya.

Berdasarkan laporan, pelaburan Khazanah dalam Farm Fresh bukan sahaja mencipta keuntungan malah membekalkan pemakanan berkhasiat kepada pengguna Malaysia pada harga yang kompetitif.

Melalui rangkaian rangkaian 'satellite farmers', ia turut meningkatkan pendapatan isi rumah, mewujudkan usahawan mikro serta memperbaiki taraf hidup petani tempatan.

“Apa yang kita mahu adalah Khazanah membangunkan sektor dengan kesan pengganda lebih tinggi dari segi penciptaan pekerjaan, dan impaknya meluas terutama di kawasan luar bandar.

“Dengan cara itu, pembangunan ekonomi dapat diseimbangkan dan tidak terlalu tertumpu di kawasan bandar,” kata Mohd Afzanizam.

Dari perspektif yang lebih luas, Ahmed Razman berkata Khazanah perlu memberi tumpuan kepada pelaburan yang selaras dengan keutamaan negara seperti tenaga hijau, ekonomi digital dan penjagaan kesihatan, sambil memastikan kemampanan kewangan melalui pengurusan risiko berdisiplin serta pelaburan bersama rakan global.

Apa yang lebih penting, Khazanah perlu menjadi pemangkin ekosistem tempatan dengan menumpukan pada modal swasta, pembinaan bakat tenaga kerja serta melahirkan peneraju serantau, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan