WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lantang Perjuangkan Nasib Rakyat Palestin, Malaysia Mampu Tangani Ugutan

26/08/2025 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia mampu menangani sebarang ancaman atau ugutan susulan pendiriannya yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

“Soal kemungkinan adanya ancaman atau ugutan terhadap kita apabila terlalu lantang membawakan naratif dan memperjuangkan rakyat Palestin, saya yakin perkara itu boleh ditangani kerana pendirian kita kukuh serta berasas,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai sama ada pendirian pro-Palestin kerajaan boleh mengakibatkan Malaysia dipulaukan oleh negara lain dari aspek ekonomi.

Mohamad berkata pendirian Malaysia terhadap Palestin konsisten sejak sekian lama, berlandaskan prinsip kemanusiaan dan bukan semata-mata faktor agama.

“Pendirian kita terhadap isu Palestin bukan sesuatu yang baharu, kerana kita konsisten memperjuangkan nasib rakyatnya. Ia bukan hanya soal agama atau negara Islam semata-mata, sebaliknya isu kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai sokongan kukuh di pelbagai platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN, yang memperkukuh suara negara dalam membela rakyat Palestin.

Sementara itu, Mohamad berkata konflik di Palestin setakat ini telah meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan hampir 150,000 yang lain, selain menjejaskan kestabilan serantau melibatkan negara seperti Lubnan, Iran dan Syria.

“Situasi dan ketidaktentuan di Timur Tengah bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan serantau serta global, malah turut menimbulkan implikasi kepada kepentingan Malaysia dari segi ekonomi, perdagangan, tenaga dan keselamatan rakyat kita di rantau berkenaan,” katanya.

Beliau menegaskan dasar luar Malaysia terhadap Timur Tengah kekal menyeluruh, berprinsip dan pragmatik, dengan menekankan pendekatan diplomatik serta kerjasama erat bersama negara berkepentingan seperti Jordan, Mesir, Turkiye dan Qatar bagi mencari penyelesaian damai.

Mohamad menjawab soalan asal Willie mengenai perkembangan konflik bersenjata di Timur Tengah dan sama ada Malaysia merancang menyemak dasar luar berkaitan rantau itu bagi melindungi kepentingan ekonomi, keselamatan serta rakyat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan