KUALA NERUS, 26 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan kebangkitan Selangor FC menjelang perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam esok.
Badrul Afzan berkata skuad The Red Giants pasti akan menampilkan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata selepas tewas tipis 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Ahad lepas.
Beliau berkata skuad Penyu perlu kekal fokus dan bermain mengikut perancangan agar dapat membawa pulang kemenangan untuk penyokong setia pasukan TFC.
“Kita semua tahu Selangor FC antara pasukan terbaik dengan barisan pemain berkualiti dan digeruni lawan.
“Ini perlawanan terakhir kita sebelum berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa. Jadi, saya harap pemain lebih fokus dan dapat membawa pulang tiga mata atau sekurang-kurangnya satu mata,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Badrul Afzan berkata semua pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan kecuali penyerang import Gabriel Da Costa yang mengalami kecederaan hamstring manakala Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dipanggil menyertai Skuad Bawah 23 Tahun (B-23).
Beliau bagaimanapun tetap mengingatkan pemain supaya berhati-hati dalam mengawal emosi bagi mengelak dikenakan layangan kad seperti dalam perlawanan menentang DPMM FC pada Sabtu lepas.
“Kami memiliki sedikit kelebihan dari segi masa rehat kerana Selangor baru sahaja melalui perlawanan pada Ahad lepas berbanding kami yang terakhir Jumaat lepas.
“Jadi, tiada alasan untuk pemain tidak memberikan persembahan terbaik untuk TFC mencuri tiga mata di tempat lawan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial