ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memikat burung di Kampung Bukit Tok Chom, dekat Pendang hari ini.
Ketua Polis Daerah Pendang Supt Rodzi Abu Hassan berkata mayat Sahrulnizam Ramli, 53, ditemukan oleh orang awam dan polis menerima laporan berkaitan penemuan mayat itu pada 9.55 pagi tadi.
“Dalam laporan itu, individu terbabit menyatakan telah menemukan mayat seorang lelaki, iaitu lelaki berkenaan dipercayai meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik semasa menggunakan galah untuk memikat burung.
“Hasil siasatan polis pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang tanda kematian akibat perbuatan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian menemukan sebatang galah diubah suai yang dipercayai digunakan mangsa untuk memikat burung dan masih tersangkut pada kabel elektrik bervoltan tinggi.
“Isteri mangsa (Sahrulnizam) memaklumkan suaminya keluar dari rumah kira-kira 8.30 pagi untuk memikat burung dengan menaiki motosikal.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial