WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Enam Termasuk Warga Myanmar Didakwa Miliki Lebih 11,000 Kg Minyak Masak Tanpa Lesen

26/08/2025 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Lima warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Selayang di sini hari ini atas satu pertuduhan memiliki barang kawalan, iaitu 11,883 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen, minggu lepas.

Tertuduh terdiri daripada Wong Shu Chi dan lima lelaki warganegara Myanmar, iaitu Aye Min Thu, Aung Ko Ko, Htet Aung, Htet Naung dan Than Soe Aung.

Bagaimanapun, Wong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu manakala tiada pengakuan direkodkan bagi lima tertuduh lain selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan kes bagi lantikan jurubahasa Myanmar bagi lima tertuduh warga asing itu.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki barang kawalan berjadual, iaitu minyak masak sebanyak 11,883 kg dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah di sebuah premis di Taman Industri Nautical, Rawang pada 11.30 pagi, 20 Ogos lepas.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual secara runcit atau borong tanpa lesen.

Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafizi Abdul Halim daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya manakala Wong diwakili peguam Mohd Amin Arsan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan