WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Festival Musim Panas ASEAN Julung Kali Diadakan Di Kazakhstan - Kedutaan

27/08/2025 09:33 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Festival Musim Panas ASEAN buat julung kalinya diadakan di ibu negara Kazakhstan, Astana pada 23 Ogos sebagai sebahagian daripada sambutan Hari ASEAN 2025.

Acara anjuran Jawatankuasa Negara-Negara ASEAN, yang dianggotai Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam itu berlangsung di Pusat Kebudayaan Indonesia, di sana.

Ia diadakan bersempena ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN dan ulang tahun ke-11 jawatankuasa itu di Kazakhstan, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Astana dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Festival itu berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung termasuk warga tempatan, sahabat ASEAN dan diplomat asing yang disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti muzik, tarian, nyanyian, peragaan busana tradisional serta demonstrasi masakan dan makanan.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah dalam ucapan perasmian menekankan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini serta menjemput rakyat Kazakhstan berkunjung ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 26).

Kedutaan Besar Malaysia turut mengetengahkan reruai yang mempamerkan jualan kraf batik, fabrik dan aksesori wanita, manakala hidangan popular seperti sate, nasi lemak, karipap, bihun, kuih-muih tradisional dan teh tarik turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Tourism Malaysia Almaty turut memberi sokongan dengan membawa kumpulan kebudayaan yang mempersembahkan tarian mencerminkan kepelbagaian kaum dan budaya Malaysia.

Kehadiran maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja, menambahkan keceriaan festival, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Hari ASEAN disambut pada 8 Ogos setiap tahun bagi memperingati penubuhan ASEAN melalui Deklarasi Bangkok pada 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan