WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Moody’s Naikkan Julat Harga Msm Kepada RM3,800–RM4,200 Satu Tan Berikutan Permintaan Kukuh

27/08/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Moody’s Ratings meningkatkan julat sensitiviti harga jangka sederhana minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,800–RM4,200 setiap tan daripada RM3,400–RM3,800 sebelum itu, berikutan permintaan kukuh di Indonesia dipacu oleh mandat biodiesel dan pertumbuhan  pengeluaran yang sederhana di Asia.

Agensi penarafan itu berkata harga dijangka kekal disokong sepanjang 12 bulan akan datang.

Berdasarkan anggaran terkini, keuntungan bagi pengeluar yang mendapat penarafan seperti  Sime Darby Plantation Bhd dan IOI Corporation Bhd akan kekal kukuh dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, katanya.

"Kami menjangkakan permintaan global akan bertambah kukuh menjelang penghujung 2025 berikutan pembeli menambah semula stok menjelang tarikh akhir Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) pada 30 Disember 2025,” kata Moody’s dalam satu kenyataan.

Moody’s turut memaklumkan bahawa Sime Darby Plantation telah membuat penghantaran pertama yang sepenuhnya mematuhi EUDR ke Eropah pada September 2024, jauh lebih awal sebelum peraturan tersebut dilaksanakan.

IOI juga mengambil langkah memastikan pematuhan termasuk pelancaran platform data room pada bulan lepas untuk menyokong usaha wajar para pemegang kepentingan.

Menurut Moody’s harga MSM turun kepada RM3,780 setiap tan pada Mei 2025 daripada sekitar RM5,000 pada penghujung 2024 disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi, permintaan yang rendah serta ketidaktentuan yang berkaitan dengan dasar perdagangan Amerika Syarikat. Harga kemudiannya pulih semula melebihi RM4,400 setiap tan pada 22 Ogos 2025.

Pengeluaran di Indonesia dan Malaysia, yang menyumbang lebih 80 peratus daripada keluaran global dijangka meningkat secara sederhana pada 2025 hingga 2026.

Di Malaysia, peningkatan ketersediaan tenaga buruh akan membantu pengeluaran walaupun menghadapi cabaran pokok yang sudah tua dan kadar penanaman semula yang lebih perlahan daripada jangkaan.

"Lembaga Minyak Sawit Malaysia, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosi dan membangunkan sektor ini, mengunjurkan pengeluaran akan meningkat kepada 19.5 juta tan pada 2025 berbanding 19.3 juta tan pada 2024,” kata Moody’s.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan