WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pulau Pinang Catat RM12.5 Bilion Pelaburan Pembuatan Diluluskan Separuh Pertama 2025

27/08/2025 03:42 PM

GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur baharu dan sedia ada dengan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM12.5 bilion pada separuh pertama 2025.

Jumlah ini mewakili peningkatan sebanyak 150 peratus tahun ke tahun.

InvestPenang berkata aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan yang diluluskan berjumlah RM10.5 bilion dari Januari hingga Jun iaitu 84 peratus daripada jumlah keseluruhan, menjadikan negeri itu penyumbang utama FDI pembuatan di Malaysia dengan 20 peratus daripada jumlah negara sepanjang tempoh berkenaan.

“Amerika Syarikat, China dan Kepulauan Cayman muncul sebagai tiga sumber utama FDI yang secara kolektif menyumbang 60 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang.

"Di peringkat domestik, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan sebanyak RM2 bilion, mewakili 16 peratus daripada jumlah keseluruhan negeri dan menunjukkan peningkatan sebanyak 51 peratus tahun ke tahun,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang berada di kedudukan kedua tertinggi sebagai penyumbang pelaburan pembuatan yang diluluskan di seluruh negara, merangkumi 18 peratus daripada jumlah keseluruhan Malaysia.

InvestPenang berkata, aliran masuk pelaburan di Pulau Pinang merangkumi 86 projek dan dijangka mewujudkan 11,116 peluang pekerjaan baharu.

Sementara itu, aktiviti pelaburan banyak tertumpu dalam sektor yang dipromosikan oleh negeri termasuk elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan (M&E) serta bahan kimia dan produk kimia yang secara keseluruhannya menyumbang 92 peratus daripada jumlah aliran masuk yang diluluskan dalam separuh pertama 2025.

Agensi kerajaan negeri itu berkata, walaupun berdepan cabaran luaran termasuk ketidaktentuan tarif global dan dasar perdagangan yang sedang berubah, Pulau Pinang kekal berdaya tahan dalam menarik pelaburan global.

Sementara itu, Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata negeri itu sekali lagi menunjukkan prestasi luar biasa dengan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global walaupun berdepan dengan persekitaran global yang tidak menentu pada masa ini. 

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap keupayaan dan daya tahan Pulau Pinang. Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelabur atas kepercayaan mereka terhadap Pulau Pinang.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MIDA dan InvestPenang atas kerjasama berterusan dalam mempromosikan pelaburan yang berkualiti tinggi serta strategik yang mengukuhkan peranan Pulau Pinang sebagai titik tumpuan penting dalam rantaian nilai pembuatan global,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan