PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pelaksanaan semula proses bedah siasat ke atas pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia Syamsul Haris Shamsudin.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berwajib sepanjang siasatan dijalankan bagi memastikan keadilan untuk Allahyarham dapat ditegakkan.
"Kementerian Pertahanan akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan mengikut prinsip undang-undang yang berkuat kuasa," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih pada keesokan harinya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibunya Ummu Haiman Bee Daulatgun pada 19 Ogos lepas, yang antara lain bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan dan mencadangkan agar prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial