WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Festival Filem Jepun 2025 Bakal Gamit Penggemar Filem Malaysia

27/08/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Festival Filem Jepun (JFF) 2025 bakal kembali dengan 13 pilihan filem merangkumi pelbagai genre, bertujuan menarik lebih 10,000 penggemar filem di seluruh negara sambil mempamerkan kekayaan pawagam dan budaya Jepun.

Dianjurkan oleh The Japan Foundation, Kuala Lumpur dengan kerjasama Kedutaan Jepun, festival itu akan berlangsung dari 10 Sept hingga 19 Okt di pawagam GSC terpilih, menampilkan filem bergenre drama, saspens, bertemakan kulinari serta karya klasik seperti Seven Samurai arahan Akira Kurosawa.

Pengarah The Japan Foundation, Kuala Lumpur, Tsukamoto Norhisa berkata festival pada tahun ini akan memberi tumpuan untuk menarik penonton kepada filem Jepun berkualiti dengan tema yang masih belum diterokai secara meluas oleh penggemar filem.

“Sebagai contoh, kami memperkenalkan filem bertemakan kulinari Jepun yang menonjolkan pelbagai aspek budaya Jepun kepada dunia.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, festival ini telah berkembang menjadi lebih daripada sekadar ruang untuk menonton filem Jepun, malah menjadi ruang untuk pertukaran budaya dan ilmu antara Malaysia dan Jepun,” katanya pada sidang media pada Selasa bersempena pratonton festival itu.

Festival yang berlangsung selama sebulan itu akan menjelajah ke Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Tiket untuk JFF 2025 berharga RM10, kecuali bagi filem The Solitary Gourmet yang akan dijual pada kadar semasa pawagam melalui saluran GSC. Semua filem akan ditayangkan dalam bahasa Jepun dengan sari kata bahasa Inggeris.

Festival itu akan dibuka dengan tayangan Sunset Sunrise, yang memenangi Anugerah Pilihan Penonton di Asian Pop-up Cinema 2025 di Chicago.

Sepanjang dua dekad lalu, festival itu telah menarik lebih 200,000 pengunjung, menayangkan 215 filem arahan 127 pengarah serta menganjurkan 11 acara sampingan di lima negeri dan wilayah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan