KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Cadangan pembinaan jajaran baharu Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Tawau ke sempadan Nusantara serta penambahbaikan kemudahan kesihatan di Sabah dan Sarawak disaran dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan pembangunan lebih seimbang di kedua-dua wilayah.
Senator Datuk Bobbey Suan dari Sabah berkata laluan dari Tawau, Kalabakan, Nabawan, Keningau hingga Tenom wajar dipertimbangkan memandangkan kawasan berkenaan bersempadan dengan Kalimantan, sekali gus berpotensi menjadi pintu masuk perdagangan dan pelaburan baharu antara Malaysia dan Indonesia.
“Kesinambungan penyaluran peruntukan pembangunan infrastruktur kepada Sabah dalam RMK13 amat penting bagi memastikan penambahbaikan infrastruktur serta fasiliti awam, sekali gis membolehkan negeri itu meraih limpahan ekonomi besar daripada Nusantara,” katanya ketika membahaskan usul RMK13 di Dewan Negara hari ini.
Dalam perbahasanitu, Bobbey turut membangkitkan isu kekurangan tenaga pakar kesihatan yang kritikal di Sabah apabila nisbah semasa menunjukkan hanya seorang doktor bagi setiap 856 pesakit, berbanding nisbah kebangsaan seorang doktor bagi 420 pesakit.
“Lebih membimbangkan, hanya terdapat dua pakar jantung untuk jutaan penduduk di Sabah. Keadaan ini boleh memberi kesan langsung terhadap keselamatan nyawa rakyat kita,” katanya sambil mencadangkan pelan nasional khas bagi menambah bilangan doktor serta menaik taraf klinik kesihatan pedalaman kepada hospital daerah lengkap dengan peralatan moden.
Sementara itu, Senator Roderick Wong Siew Lead menekankan kepentingan memastikan pembangunan infrastruktur kesihatan di Sarawak seiring pertambahan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar agar rakyat negeri itu tidak terus ketinggalan menikmati akses kesihatan berkualiti.
Beliau berkata kemudahan kesihatan sedia ada di Sarikei tidak lagi mampu menampung keperluan apabila poliklinik di daerah itu terpaksa mengendalikan purata 600 hingga 800 pesakit setiap hari, iaitu lebih dua kali ganda kapasiti asal 300 pesakit.
“Pengumuman pembinaan poliklinik baharu sudah dibuat, tetapi rakyat mahu jawapan jelas bilakah kerja pembinaan akan bermula, di mana lokasi sebenar dan bagaimana kemudahan itu dapat menampung keperluan sehingga 1,000 pesakit sehari dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Senator Michael Mujah Lihan berkata RMK13 perlu memberi tumpuan menyeluruh ke semua pelosok negara dengan membina infrastruktur, menyediakan capaian internet berkelajuan tinggi serta menambah baik kemudahan sekolah dan klinik di kawasan terpencil, di samping melaksanakan program ekonomi berasaskan sumber tempatan untuk manfaat rakyat.
“RMK13 bukan sekadar pengumuman di atas kertas, sebaliknya janji kepada rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman Sarawak. Infrastruktur asas, pendidikan, kemudahan kesihatan dan peluang ekonomi mesti dirasai setiap rakyat,” katanya.
Michael berkata isu sambungan digital di pedalaman Sarawak masih kritikal dengan hanya 80.9 peratus liputan internet, manakala sebahagian penduduk luar bandar masih sukar mendapat akses 4G atau 5G dan ia memerlukan perhatian segera bagi memastikan pembangunan inklusif.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial