KOTA BHARU, 27 Ogos (Bernama) -- Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini berkenan mengurniakan 30 kerusi roda kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.
Selain kerusi roda yang dimodifikasi mengikut kesesuaian penerima, baginda menyampaikan sijil tamat latihan kepada 50 pelatih OKU dan sumbangan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan kepada 250 penerima lain.
Pengarah Kampus Kesihatan USM Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail berkata pihaknya menjunjung kasih atas keberangkatan baginda yang menyempurnakan pengurniaan itu.
Beliau berkata Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM340,000 bagi melaksanakan Program Penilaian, Pendidikan dan Modifikasi Kerusi Roda khusus untuk golongan OKU asnaf di negeri itu.
“Sumbangan ini memberi manfaat kepada 100 OKU di seluruh Kelantan... program ini tidak hanya memberi bantuan berbentuk peralatan malah meraikan pencapaian 50 pelatih OKU yang menamatkan latihan pekerjaan di bawah Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM) dengan tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi inisiatif Belanjawan 2024,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Shaiful Bahari juga berkata sebahagian besar graduan program itu sudah bekerja dalam pelbagai sektor yang menerima dan meraikan tenaga kerja OKU.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial