WILAYAH - SARAWAK > BERITA

16 Substrategi NACS Berjaya Dilaksanakan Sehingga Ogos – SPRM

28/08/2025 12:58 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 16 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya dilaksanakan 11 kementerian dan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga Ogos ini, menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata daripada jumlah itu lima substrategi diselesaikan tahun lepas manakala 11 substrategi lagi dilaksanakan pada Ogos ini yang mencerminkan komitmen dan kecekapan agensi dalam melaksanakan peranan masing-masing.

Antara substrategi NACS berkenaan adalah melibatkan pengenalan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), pembangunan kit duta sahsiah dan antirasuah di sekolah, insentif kewangan tambahan bagi penghasilan kandungan filem kreatif khusus dan kewajiban syarikat mengisytiharkan pemunya benefisial untuk mengambil bahagian dalam perolehan awam.

“Turut berjaya dilaksanakan kewajipan pelaksanaan modul pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) kepada seluruh Perkhidmatan, pelaksanaan pusingan kerja, pengeluaran garis panduan pelaksanaan sesi libat urus di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri oleh SPRM dan meningkatkan sistem saringan dalam pengambilan penjawat awam melalui penambahbaikan Sistem E-Vetting 3.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi khas bersama media di sini baru-baru ini.

Azam berkata substrategi yang telah dilaksanakan itu secara langsung memberikan impak dan keberhasilan kepada rakyat secara umum.

Sebagai contoh katanya Akta AKPS yang diwartakan Oktober lepas meningkatkan keselamatan negara dengan mengurangkan risiko kemasukan unsur yang mengancam keselamatan seperti penyeludupan senjata, dadah, pemerdagangan manusia dan aktiviti ekstremisme rentas sempadan.

“Pengenalan akta berkenaan juga dapat membanteras penyeludupan dan kegiatan ekonomi haram yang melibatkan kegiatan penyeludupan rokok, diesel dan aktiviti pasaran gelap yang menjejaskan ekonomi negara, akta berkenaan juga melindungi hasil dan ekonomi negara apabila tiada lagi berlaku ketirisan dalam kutipan cukai kastam, hasil petroleum serta kawalan ke atas barangan bersubsidi.

“Selain memberikan keyakinan kepada pelabur dan pelancong berikutan kawalan sempadan yang ketat dan efisien mencerminkan keselamatan dan mampu mendorong kemasukan pelaburan asing dan pelancongan,” katanya.

Azam berkata pencapaian dalam melaksanakan substrategi NACS juga berupaya menyumbang kepada meningkatkan prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sepertimana dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia berada di tangga ke-25 teratas pada 2033.

Mengulas mengenai CPI, Azam berkata pasukan Khas CPI yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengambil pendekatan bersasar termasuk dari segi reformasi undang-undang, ketelusan perolehan serta cadangan penstrukturan semula agensi pemantauan.

Beliau berkata pasukan berkenaan telah menubuhkan enam kumpulan fokus melibatkan bidang penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik.

“Kumpulan fokus ini yang ditubuhkan pada Oktober lepas akan melaksanakan usaha penambahbaikan tatakelola, integriti dan antirasuah mengikut bidang keutamaan masing-masing,” katanya.

Selaras perkembangan semasa, Azam berkata SPRM telah mengaplikasikan pelbagai sistem pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pelaksanaan tugas serta fungsi pada peringkat dalaman organisasi dan siasatan.

Katanya penggunaan analitik data raya dan AI dapat dijadikan alat pengesanan awal bagi mengenal pasti corak perbelanjaan luar biasa atau kelulusan projek yang mencurigakan sebelum ia membawa kerugian besar kepada negara.

Menurut Azam, walaupun AI mempunyai potensi yang besar, ia tidak terlepas daripada risiko disalah guna termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi data dan keputusan automatik yang tidak telus.

Katanya kerajaan serius dengan tindakan segera dalam memperkenalkan perimeter perundangan dan panduan kepada semua kementerian, agensi dan sektor swasta dalam penggunaan teknologi berkenaan secara bertanggungjawab.

“Kerangka ini merangkumi prinsip seperti keadilan algoritma, kebolehtelusan, hak kepada penjelasan dan perlindungan terhadap diskriminasi digital serta secara langsung melindungi rakyat daripada eksploitasi teknologi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah, Azam berkata antara objektif NACS adalah untuk menangani persepsi awam terhadap ketelusan dan integriti institusi negara.

Oleh itu, pendekatan yang digariskan bukan sekadar bertujuan membanteras rasuah tetapi juga untuk mewujudkan sistem pentadbiran yang diyakini rakyat menerusi pemantauan terbuka, penglibatan masyarakat dan penguatkuasaan yang konsisten.

“Semakin rakyat tahu apa yang kita laksanakan, saya percaya keyakinan masyarakat akan meningkat, keyakinan rakyat hanya boleh dibina melalui tindakan dan NACS merupakan komitmen strategik kerajaan untuk membuktikan bahawa reformasi integriti ini bukan sekadar slogan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan