WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Proton e.MAS 5 Lakukan Penampilan Sulung Di Dataran Putrajaya

31/08/2025 02:17 PM

Oleh R. Thivyamalini

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Jika tahun lepas kereta elektrik pertama Proton, e.MAS 7 membuat penampilan istimewa bersempena dengan Hari Kebangsaan, tahun ini sejarah berulang apabila Proton e.MAS 5 pula yang "menemui" ribuan pengunjung di Dataran Putrajaya hari ini.

Ketua Pegawai Penjenamaan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) Salawati Mohd Yusoff berkata penampilan itu bagi memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) terbaharu berkenaan, sebelum dilancarkan secara rasmi pada suku keempat tahun ini.

“Signifikan membawa e.MAS 5 ke Dataran Putrajaya adalah untuk menyokong hasrat kerajaan bagi menunjukkan mobiliti yang lebih hijau.

“Keduanya ialah kami hendak memperkenalkan EV ini kepada rakyat Malaysia bahawa kenderaan ini merupakan kereta yang selesa dan praktikal untuk mobiliti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Turut serta dalam perarakan aset kenderaan DRB Hicom ialah kereta elektrik pertama Proton, e.MAS 7 yang membuat penampilan buat kali kedua pada sambutan Hari Kebangsaan.

Perarakan itu didahului oleh Proton Saga dan motosikal Modenas Kriss Edisi Pertama, diikuti motosikal elektrik Modenas MEV 1 dan MEV 2.

Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh meriah dan lancar.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke sambutan itu dengan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna biru dengan nombor pendaftaran WWW1.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan anggota Kabinet dan perwakilan asing turut hadir.

Acara tamat kira-kira 10 pagi dan orang ramai turut dipelawa meluangkan masa berkunjung ke program RiUH Merdeka, iaitu program sisipan sambutan Hari Kebangsaan 2025, yang berlangsung selama 30 jam bermula dari 12 tengah hari semalam hingga 6 petang ini di Tapak Monumen Alaf Baru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan