WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Sertai Pemimpin Asing Pada Perarakan Hari Kemenangan China

03/09/2025 10:07 AM

Daripada Voon Miaw Ping

BEIJING, 3 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin dan kenamaan asing pada perarakan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia kedua, di Dataran Tiananmen pagi ini.

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di dataran itu pada 8.30 pagi dan disambut oleh Presiden China Xi Jinping dan Wanita Pertama Peng Liyuan.

Menurut Kementerian Luar China, sebanyak 26 pemimpin asing menghadiri perarakan ketenteraan berskala besar itu.

Antaranya termasuklah Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Raja Kemboja Norodom Sihamoni, Presiden Mongolia Ukhnaa Khurelsukh, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, dan Pemangku Presiden Myanmar Min Aung Hlaing.

Puluhan ribu orang turut menghadiri acara peringatan itu yang disiarkan secara langsung oleh media China.

Xi, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat turut menyampaikan ucapan dan memeriksa perarakan berkenaan.

Perarakan itu melibatkan lebih 10,000 anggota tentera, bersama-sama lebih 100 pesawat dan ratusan aset ketenteraan darat yang disusun mengikut formasi sistem perintah waktu perang.

Sistem perkhidmatan dan senjata baharu Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) termasuk perisikan tanpa pemandu, peluru berpandu hipersonik, senjata tenaga terarah, sistem gangguan elektronik dan persenjataan strategik dipamerkan buat kali pertama pada perarakan itu, menonjolkan persenjataan canggih China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan